24 tertuduh diarah kemuka laporan perubatan

No Image Caption
A
A
A
SUNGAI PETANI - Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan 24 tertuduh yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang pada Oktober lalu mengemukakan laporan perubatan bagi mengesahkan tahap kesihatan masing-masing.

Hakim Azman Abu Hassan mengarahkan laporan itu dikemukakan sebelum atau pada 20 Disember dan dikeluarkan oleh doktor kerajaan dengan pemeriksaan kesihatan menyeluruh terhadap kesemua tertuduh yang berumur antara 20 hingga 58 tahun itu.

Beliau memutuskan demikian selepas peguam Rafael Abdullah, yang mewakili salah seorang tertuduh memohon kebenaran mahkamah untuk membawa seorang doktor pakar dari sebuah hospital swasta ke mahkamah bagi memeriksa anak guamnya yang didakwa mempunyai masalah kesihatan termasuk jantung.

Menurut Rafael, pada awalnya beliau ingin membawa doktor berkenaan ke penjara namun tidak dibenarkan susulan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 menyebabkan beliau memohon kebenaran untuk membawa pakar ke mahkamah.

Permohonan Rafael itu turut dipersetujui empat peguam mewakili tertuduh lain, yang mahukan anak guam mereka turut menjalani pemeriksaan kesihatan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad tidak membantah permohonan itu.

Sehubungan itu, hakim memutuskan agar kesemua tertuduh perlu mengemukakan laporan perubatan mereka bagi membolehkan mahkamah meneliti tahap kesihatan masing-masing melalui laporan perubatan penuh sebelum sebutan semula kes pada 31 Disember ini.

Pada prosiding semalam, hanya 23 tertuduh hadir manakala seorang lagi tidak dapat hadir kerana berada di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah, Perak yang kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebaik tamat prosiding, mahkamah membenarkan 23 tertuduh berjumpa seorang ahli keluarga masing-masing selama tiga minit, dengan kawalan ketat polis berikutan kesemua mereka sudah 42 hari dilarang berbuat demikian atas faktor mematuhi SOP Covid-19.
Artikel Berkaitan:


Pada 22 Oktober lalu, kesemua lelaki berkenaan didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sungai Petani antara 1 Januari 2019 hingga 26 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, pada 21 Oktober lalu, polis percaya satu sindiket memproses dadah dan jenayah kekerasan di sekitar Sungai Petani berjaya ditumpaskan susulan penahanan kesemua lelaki itu termasuk ketua kumpulan mereka yang dikenali sebagai ‘Rusa Boy’. - Bernama