Tidak hadir sidang Dewan Rakyat kerana pulang ke Sabah

Christina Liew
Christina Liew
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menghadiri Sidang Parlimen di Kuala Lumpur semalam kerana terpaksa pulang ke Kota Kinabalu untuk menyelesaikan beberapa urusan keluarga.

Christina yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah bagaimanapun berkata, beliau telah menghadiri Dewan Rakyat sejak 23 hingga 26 November lalu sebelum pulang ke Sabah dan berhasrat untuk kembali semula pada minggu hadapan selepas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya menghadiri Sidang Parlimen pada Khamis lalu di mana ketika sesi undi bacaan kali kedua penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 diadakan.

"Saya telah maklumkan kepada kepimpinan PKR bahawa saya perlu pulang selama seminggu dan akan kembali semula ke Parlimen selepas seminggu kemudian.

"Saya pulang ke Kota Kinabalu pada Jumaat lalu untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan keluarga yang menjalani pembedahan. Mengikut peraturan, Parlimen tidak bersidang pada hari Jumaat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api memberi jaminan akan hadir dalam sesi perbahasan di Parlimen yang seterusnya serta proses undian bagi bacaan ketiga Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada 15 Disember ini.

Terdahulu, Christina antara ahli Parlimen dari Sabah yang tidak hadir pada sesi undian Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat semalam selain beberapa lagi ahli Parlimen dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mendedahkan bahawa ketiadaan ahli Parlimen daripada Warisan pada sesi itu adalah disengajakan kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Warisan tidak hadir undi sebab kecewa dengan Anwar

MP Warisan tidak hadir Dewan Rakyat mungkin arahan Dr Mahathir