X

Kindly register in order to view this article
!

Mohd Rani Hisham dilantik semula CEO baharu KTMB

Mohd Rani Hisham Samsudin
A
A

KUALA LUMPUR - Mohd Rani Hisham Samsudin dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi KTMB, Datuk Rameli Musa dalam satu kenyataan berkata, Mohd Rani Hisham, 58, menggantikan penyandang jawatan sebelum ini, Datuk Kamarulzaman Zainal yang menamatkan perkhidmatan semalam, setelah lebih setahun memegang jawatan itu.

Beliau berkata, Mohd Rani Hisham mempunyai pengalaman menerajui syarikat itu selama dua tahun pada 2017 hingga 2019.

“Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu berhadapan dengan cabaran ketika syarikat mengalami penurunan jumlah penumpang yang ketara akibat penularan pandemik Covid-19.

“Beliau perlu memastikan pelan pembangunan masa depan syarikat dapat dilaksanakan segera, seiring dengan senario semasa, termasuk agenda pembiayaan operasi dan aset, pengukuhan struktur serta tata kelola organisasi dan mengoptimumkan nilai korporat penyedia pengangkutan rel utama negara,” katanya.

Mohd Rani Hisham berkelulusan bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Northrop, California, Amerika Syarikat (AS), mempunyai pengalaman lebih 34 tahun dalam pengurusan logisitik, pengangkutan awam dan kargo.

Selain bertugas dengan beberapa syarikat pengangkutan dan logisitik di AS, beliau turut menyertai beberapa syarikat dalam negara seperti Pos Aviation Sdn Bhd, Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd, MISC Trucking and Warehousing Sdn Bhd, DHL Global Forwarding dan Sime Darby Berhad.

Jawatan terakhir Mohd Rani Hisham ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional Berhad yang dipegangnya sejak Oktober tahun lepas. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!