Tiada 'line' internet, KKMM sudah dimaklumkan

Masalah yang dihadapi Nurlieda Khaleeda mendapat perhatian segera Ahli Parlimen Tanah Merah.
Masalah yang dihadapi Nurlieda Khaleeda mendapat perhatian segera Ahli Parlimen Tanah Merah.
A
A
A

TANAH MERAH - Kepayahan seorang penuntut Pusat Perubatan Universiti Malaya, Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi yang terpaksa mendaki bukit dan mendirikan khemah di Gual Ipoh untuk mendapatkan internet bagi menjawab peperiksaan mendapat perhatian segera Ahli Parlimen Tanah Merah.

Prihatin dengan perkara terbabit, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, masalah liputan internet di beberapa kampung di Gual Ipoh sudah diadukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, beliau sendiri telah memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Menterinya iaitu Datuk Zahidi Zainal Abidin agar permasalahan itu mendapat perhatian segera.

"Saya juga minta kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya memandang serius berhubung masalah liputan internet di kawasan pedalaman dan luar bandar seperti di Tanah Merah.

"Kita sedar, liputan internet ini amat penting terutamanya dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19 yang memerlukan banyak urusan harian termasuk pembelajaran secara dalam talian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dayang Saniah (depan) meninjau kawasan bagi mendapatkan gambaran sebenar berkaitan masalah dihadapi Nurlieda Khaleeda di Kampung Bukit Petai Tujuh semalam.
Dayang Saniah (depan) meninjau kawasan bagi mendapatkan gambaran sebenar berkaitan masalah dihadapi Nurlieda Khaleeda di Kampung Bukit Petai Tujuh semalam.

Ahad lalu Sinar Harian melaporkan Nurlieda Khaleeda berusia 20 tahun itu terpaksa mendaki bukit lebih 20 meter dari rumahnya di Kampung Bukit Petai Tujuh untuk ke khemah dibina ayahnya selain perlu menjawab soalan peperiksaan ditemani nyamuk, pacat dan haiwan berbisa seperti ular.

ARTIKEL BERKAITAN: Daki bukit untuk jawab peperiksaan

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata, beliau juga menghantar Pegawai Khasnya, Dayang Saniah Awang Hamid bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai masalah liputan internet yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan kelmarin.

"Saya dimaklumkan, selain Kampung Bukit Petai Tujuh, lima kampung lain di kawasan ini turut mengalami gangguan liputan komunikasi iaitu Kampung Mengat, Degong, Che Nakaf, Jerangau Dalam dan Jerangau Luar," jelasnya.

Turut hadir mendapatkan gambaran sebenar berhubung masalah di hadapi penduduk di situ ialah Pengurus Jualan Kawasan Celcom Kelantan Selatan, Nadzri Zalfudin.

Berikutan masalah internet juga, penduduk kampung di situ membina pondok di atas pokok setinggi lebih tujuh meter di kawasan bukit berkenaan untuk memudahkan kelas dalam talian mahupun pelbagai urusan lain.