X

Kindly register in order to view this article
!

Pokok keladi bukan tumbuhan dilindungi

Mesej yang tular di aplikasi WhatsApp berhubung daun keladi tidak boleh dipelihara dan dijual.
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah hari ini menafikan bahawa pokok hiasan Alocasia atau lebih dikenali sebagai pokok keladi adalah tanaman yang dilindungi.

Sebaliknya, penggemar pokok hiasan itu boleh memelihara tanaman berkenaan dan tidak perlu bimbang dengan mesej yang tular di aplikasi WhatsApp bahawa tumbuhan itu dilindungi dan boleh dikenakan saman jika menanam atau menjualnya.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya dihujani soalan daripada penggemar tanaman hiasan Alocasia sama ada tanaman tersebut adalah dilarang untuk dipelihara atau dijual.

"Tumbuhan Alocasia tidak dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997. Tidak menjadi satu kesalahan untuk menjual atau memelihara tumbuhan ini di Sabah.

"Namun demikian, orang ramai dinasihatkan untuk tidak memungut tumbuhan tersebut di hutan simpan atau kawasan yang dilindungi melainkan mempunyai kebenaran yang sah daripada jabatan atau agensi yang diamanahkan menjaga kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa JHL mempunyai platform seperti Facebook dan Instagram 5R Hidupan Liar bagi orang awam mengetahui mengenai sebaran am yang dikeluarkan jabatan terbabit.

"Orang ramai boleh membuat rujukan mengenai hidupan liar yang dilindungi dan mempelajari lebih banyak mengenai perlindungan hidupan liar di Sabah.

"Program Sembang Santai yang dilaksanakan di laman Facebook 5R Hidupan Liar juga bertujuan untuk jabatan berinteraksi dengan aktif bersama orang awam sebagai pencerahan serta berkongsi pendapat untuk sama-sama melindungi hidupan liar di Sabah.

"Orang ramai adalah digalakkan untuk mengikuti laman itu," katanya.

Terdahulu, pihak JHL Sabah sejak kebelakangan ini menerima banyak pertanyaan berhubung isu yang tular di aplikasi WhatsApp mengatakan bahawa tumbuhan itu dilindungi dan pesalah boleh disaman sekiranya didapati bersalah.

Alocasia sejenis tumbuhan jenis keladi yang tumbuh di hutan hujan tropika di Asia Tenggara dan ia biasa ditemui di Kepulauan Borneo.

Tumbuhan itu boleh mencapai ketinggian empat meter dan terdapat kira-kira 79 spesies yang diketahui. Ia juga mudah dijaga dan sangat digemari kerana daunnya yang cantik dari segi bentuk dan warna.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!