311 individu ingkar PKP ditahan

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 311 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah seramai 306 dikompaun manakala lima individu direman.

“Kesalahan membabitkan 97 kes tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas negeri/daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14),” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Menurutnya, seramai 14 pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi Benteng semalam dan sebanyak tiga bos dan satu kenderaan dirampas.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam seramai 79,128 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 78 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,270 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 502 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 67,356 individu dibenarkan pulang dan kesemua mereka pulang dari 36 negara.

"Mengenai Op Sanitasi Awam Covid-19 semalam, sebanyak 40 operasi sanitasi meliputi 11 zon merah, empat zon jingga, sembilan zon kuning dan empat zon hijau membabitkan 12 negeri," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: