X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 1,472 kes baharu hari ini, tiga kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bilangan pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di hospital di negara ini kini mencecah 10,495 orang termasuk 120 kes yang diletakkan di unit rawatan rapi (ICU).

Pertambahan itu berikutan peningkatan kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini iaitu sebanyak 1,472 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini ialah 67,169 kes.

"Terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 1,467 kes pula merupakan penularan Covid-19 dalam negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kes hari ini, beliau berkata, daripada 120 kes dirawat yang di ICU, seramai 44 orang memerlukan bantuan pernafasan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif ialah sebanyak 363 orang iaitu 0.54 peratus," katanya.

Menurutnya, kes kematian itu membabitkan seorang wanita warga emas dan dua lelaki berumur 24 hingga 64 tahun.

"Kesemua kes kematian dilaporkan di hospital Sabah," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lepas, jangkitan Covid-19 menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil.

"Sebahagian besar daripada kes-kes yang dilaporkan kebelakangan ini adalah berpunca dari tapak binaan dan kilang," katanya.

Beliau berkata, angka yang tinggi adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan.

"Kluster Teratai sahaja pada hari ini telah melaporkan sebanyak 778 kes (52.9 peratus) daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di Selangor (891 kes)," katanya.

Menurutnya, sejak diumumkan pada 7 November lalu, seramai 6,603 individu telah disaring bagi Kluster Teratai.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif Covid-19 yang melibatkan 331 (6.5 peratus) rakyat tempatan dan 4,725 warga asing dan kesemua kes positif telah diasingkan," katanya.

Selain itu, katanya, KKM menyambut baik pengumuman lanjutan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang Top Glove, Klang bermula hari ini sehingga 14 Disember depan.

"Sehingga kini majikan berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan segala operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan kepada semua pekerja mereka.

"Anggota-anggota kesihatan juga telah digerakkan sejak awal lagi ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!