Jumlah penjawat awam terlibat dadah rendah

Zulkifli Abdullah (tengah) diiringi Kok Chin (dua kiri) dan Rupiah Wahid (kiri) menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, Johor Bahru hari ini.
Zulkifli Abdullah (tengah) diiringi Kok Chin (dua kiri) dan Rupiah Wahid (kiri) menyempurnakan perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah penjawat awam seluruh negara yang terlibat dengan pengambilan dadah masih rendah dan terkawal.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, misalnya pada tahun lalu hanya 468 daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam terlibat menagih dadah.

"Penjawat awam yang mengambil dadah itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an. Dadah Amphetamine Type Stimulant (ATS) iaitu sejenis dadah sintetik paling banyak diambil penjawat awam.

"Antara sebab utama penjawat awam mengambil dadah bukan kerana tekanan kerja tetapi terikut-ikut dengan kawan termasuk ada yang ingin mencuba," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, Johor Bahru hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid.

Zulkifli berkata, jabatan dan agensi kerajaan diminta tampil mendapatkan khidmat AADK bagi menyampaikan modul bebas dadah di tempat kerja bertujuan untuk menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam.

Sementara itu, Zulkifli memaklumkan terdapat 12 kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah diletakkan sebagai zon merah di bawah model projek rintis AADK sebelum ini.

Katanya, sembilan daripadanya sudah berjaya dihijaukan dan kini tinggal tiga kawasan sahaja lagi yang masih berada dalam zon kuning,

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, tiga kawasan terbabit yang sebelum ini diisytihar sebagai zon merah adalah Langkawi di Kedah, Petaling Jaya Selatan (Selangor) serta Pengkalan Chepa (Kelantan).

Zulkifli berkata, kawasan Parit Sulong (Batu Pahat) serta Taman Perling, Skudai dan Tampoi (Johor Bahru) yang sebelum ini diisytihar sebagai zon kuning, kini berada dalam zon hijau, selepas aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit berjaya dikawal.

Tambahnya, projek rintis berkenaan yang membabitkan 15 agensi itu akan berakhir tahun ini dan hasilnya nanti, AADK akan mencari satu model yang akan diguna pakai untuk 155 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara pada tahun depan.

Ujarnya, 12 kawasan itu menjadi projek perintis dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah bagi mencapai hasrat Dadah Terkawal 2025.

"Sebanyak 12 kawasan tersebut menjadi eksperimen dan projek pilot, ini kerana setiap kawasan berbeza-beza contohnya keadaan di Felda atau kampung tidak sama keadaannya," katanya.