Arak paling banyak dirampas

Azizah (tengah) menunjukkan rampasan terbesar minuman keras yang ditumpaskan Kastam Kedah pada sidang media hari ini.
Azizah (tengah) menunjukkan rampasan terbesar minuman keras yang ditumpaskan Kastam Kedah pada sidang media hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Rampasan minuman keras antara kes tertinggi dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah sepanjang bulan ini.

Pengarahnya, Azizah Kechik berkata, ia diseludup masuk ke negara ini susulan mendapat permintaan tinggi dipercayai untuk diedarkan sempena musim perayaan Deepavali dan Krismas.

Menurutnya, JKDM Kedah berjaya membongkar 13 kes rampasan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM259,392 sepanjang Ops Cantas yang bermula pada 10 hingga 25 November lalu.

“Kes terbesar melibatkan nilai rampasan RM248,976 dengan anggaran cukai sebanyak RM405,839. Untuk keseluruhan 12 kes lain, nilai rampasan adalah RM10,416 dengan nilai cukai dianggarkan RM31,931,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Kedah, hari ini.

Azizah berkata, kes terbesar itu berjaya dihidu anggota JKDM Alor Setar dengan kerjasama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM pada 25 November lalu.

“Kejayaan itu hasil serbuan dilakukan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor sekitar 12 tengah hari.

"Intipan selama dua hari terhadap kontena tersebut telah menemukan minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam,” katanya.

Menurutnya, anggaran kuantiti minuman keras yang dirampas dalam serbuan itu adalah 6,022 liter bernilai RM248,976.

Artikel Berkaitan:

“Kita masih mengesan suspek terlibat dan siasatan masih dilakukan bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Azizah berkata, rampasan lain termasuk tiga kes di Langkawi melibatkan nilai sebanyak RM4,179 dengan anggaran cukai terlibat RM9,869 bagi kesalahan menjual tanpa lesen sah.

Dalam pada itu, dalam ops sama, JKDM Kedah berjaya menumpaskan enam kes rampasan rokok pelbagai jenama bernilai RM9,146 dengan cukai terlibat dianggarkan RM51,315.

“Ops Cantas turut berjaya menahan dua buah kenderaan, sebuah untuk kegunaan membawa barang belum lulus Kastam manakala sebuah lagi belum lulus Kastam. Nilai kedua-duanya dianggarkan RM101,500 (cukai terlibat RM274,260),” katanya lagi.

Azizah berkata, setakat ini, pihaknya menahan 16 orang yang disyaki menerusi Ops Cantas itu.

Dalam perkembangan lain, katanya, antara kes yang berjaya ditumpaskan sepanjang tahun ini adalah rampasan tiga juta batang rokok putih bernilai RM1.2 juta membabitkan cukai RM2.1 juta, di Bukit Kayu Hitam pada September lalu.

“Pada Julai lalu, kita rampas 224 unit tayar bernilai RM168,000 dengan anggaran cukai RM60,577 di Pelabuhan Klang.

"Manakala pada Jun, dua kes rampasan bir, membabitkan 9,576 liter bernilai RM114,912 (cukai RM359,100) dan 4,764 liter bernilai RM57,168 dengan cukai RM178,650,” katanya.

Azizah turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-80088-8855 dan memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

“Bantulah kami memerangi jenayah penyeludapan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah. Jangan babitkan diri dengan aktiviti tersebut, penyeludupan merugikan negara dari aspek hasil malah mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.