Polis siasat ugutan jenayah terhadap KPN, Bukit Aman

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang menyiasat berhubung kenyataan seorang individu yang mengugut akan menembak Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan menyerang Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Ada dakwaan mendakwa suspek tidak siuman, namun siuman atau tidak kita akan kesan terlebih dahulu," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Huzir berkata, suspek berkenaan juga membuat kenyataan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong beberapa bulan lalu.

Terdahulu seorang lelaki dilaporkan mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 akan menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Individu terbabit menghantar ugutannya melalui emel kepada pihak media dan turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu.

Dalam mesej berkenaan, individu terbabit turut mendakwa akan menembak Abdul Hamid.

Artikel Berkaitan:

Malah, dia juga mendakwa pihak polis menghalang media untuk berhubung dengannya sehingga gagal menggunakan WhatsApp dan telefon bimbit termasuk komputernya turut disekat.