Banjir kilat landa pekan Sungai Lembing

Banjir kilat sekitar jam 3 pagi tadi akibat hujan lebat menyebabkan dinding kedai, rumah dan peralatan milik penduduk Sungai Lembing di sini, mengalami kerosakan.
Banjir kilat sekitar jam 3 pagi tadi akibat hujan lebat menyebabkan dinding kedai, rumah dan peralatan milik penduduk Sungai Lembing di sini, mengalami kerosakan.
A
A
A

KUANTAN - Banjir kilat sekitar jam 3 pagi tadi akibat hujan lebat menyebabkan dinding kedai, rumah dan peralatan milik penduduk Sungai Lembing di sini, mengalami kerosakan.

Ahli Dewan Negeri Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, bagaimanapun tiada penduduk yang perlu berpindah setakat ini dan keadaan masih terkawal berikutan air kembali surut menjelang tengah hari, tadi.

Menurutnya, Kampung Melayu dan Pekan Sungai Lembing, Padang turut dinaiki air akibat air turun dari hulu dan hujan yang tidak berhenti sejak malam.

"Air dipercayai naik akibat hujan lebat tanpa henti sejak tengah malam dan paras air sungai dari hulu Sungai Lembing naik mendadak. Penduduk dinasihatkan berhati-hati dan berwaspada amaran banjir," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk pekan Sungai Lembing sedang mencuci tinggalan lumpur di dalam dan luar premis perniagaan mereka.

Yee Yim, 70, menunjukkan lokasi sebelah kedainya yang dinaiki air sehingga paras lutut.
Yee Yim, 70, menunjukkan lokasi sebelah kedainya yang dinaiki air sehingga paras lutut.

Penduduk yang juga pengusaha bengkel motosikal, Chew Yee Yim, 70, berkata, air naik menyebabkan barangan di kedainya tenggelam.

"Kita memang sudah jangka banjir kilat akan berlaku pada musim tengkujuh. Cuma kita tak sangka air naik sangat cepat. Dalam dua jam air terus naik kemudian surut.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah 70 tahun tinggal di sini jadi kita bersiap sedia sejak awal. Kalau hujan lebat tak boleh tidur lena. Siap sedia sahajalah. Biasa tiga kali musim tengkujuh mesti banjir kilat," katanya.

Kamaruddin Mat Taib, 62, dari Kampung Melayu Sungai Lembing berkata, siren amaran banjir kilat tidak kedengaran mungkin disebabkan hujan lebat atau gangguan teknikal.

"Sini memang tiap-tiap tahun akan banjir apabila tiba musim tengkujuh cuma kita tak boleh jangka bila air naik. Siren ada tapi malam tadi saya tak dengar. Tak tahu sama ada bunyi tak kuat atau sebab lain.

"Kita dah bersiap-siap barangan penting dah kemas simpan tempat tinggi. Jadi apabila hujan lebat saya memang tak akan tidurlah untuk berwaspada," katanya.