X

Kindly register in order to view this article
!

249 penyeludup ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

Anggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor semasa membuat rondaan di perairan Pengkalan Taikbai. Gambar fail
A
A

KOTA BHARU - Seramai 249 penyeludup yang dikesan bergiat aktif di sempadan Malaysia-Thailand ditahan agensi penguat kuasa sempadan negeri ini dalam tempoh Januari hingga Oktober lepas, kata Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat.

Beliau berkata, mereka yang ditahan adalah penduduk tempatan dan rakyat Thailand yang dipercayai mempunyai rangkaian dalam kegiatan berkenaan.

Katanya, kebanyakan penyeludup terbabit ditahan di beberapa lokasi yang merupakan kawasan panas bagi penyeludupan termasuk di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat iaitu daerah yang bersempadan dengan Thailand.

"Kebanyakan mereka ini ditangkap oleh agensi penguat kuasa sempadan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Kumpulan penyeludup yang ditahan ini biasanya merupakan '' daripada sindiket penyeludupan barangan kontraban seperti beras, minyak dan tepung gandum secara kecil-kecilan.

"Namun begitu, ada juga yang ditahan ini adalah ahli sindiket penyeludupan imigran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafien berkata, bagi tempoh sama juga pelbagai barangan bernilai RM15.8 juta berjaya dirampas agensi penguat kuasa melibatkan 995 kes.

Katanya, sepanjang tahun lepas pula, pihak berkuasa berjaya menahan 114 orang penyeludup dan merampas pelbagai barangan bernilai RM5.8 juta membabitkan 537 kes.

Selain itu, katanya pihak berkuasa turut menahan 1,767 pendatang haram bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, dalam beberapa operasi di sempadan.

"Berbanding tempoh yang sama tahun lepas, seramai 3,246 pendatang haram ditangkap di sempadan dan kebanyakan mereka adalah rakyat Thailand, Bangladesh dan Myanmar. Kesemua mereka memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah dan dibawa oleh tekong darat," katanya.

Shafien berkata, berdasarkan statistik bagi tahun ini dan tahun lepas, jumlah pendatang yang ditangkap didapati berkurangan kepada separuh, berkemungkinan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas.

"Kemungkinan besar juga tekong darat tersebut merasa takut dan bimbang ditangkap pihak berkuasa yang meningkatkan kawalan sempadan negara ini sejak PKP termasuk di lorong-lorong tikus," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!