Peniaga air tebu terkejut hidap 4 kanser

Mohd Yusoff menunjukkan beg khas di perutnya kepada Haniff (kanan) dan Rahman (dua, kiri) yang menziarahinya.
Mohd Yusoff menunjukkan beg khas di perutnya kepada Haniff (kanan) dan Rahman (dua, kiri) yang menziarahinya.
A
A
A

PONTIAN - Bergantung kepada beg khas diletakkan di bahagian perut yang ditebuk tidak mematahkan semangat Mohd Yusoff Sa’ban, berjuang melawan empat jenis kanser yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

Mohd Yusoff, 61, yang merupakan peniaga air tebu di Kampung Jelutong Darat, Ayer Baloi di sini, menderita kanser usus, paru-paru, hati dan pundi kencing.

Bapa kepada empat orang anak ini, tidak menyangka cirit-birit yang dialami merupakan petanda sakit kanser pundi kencing.

Menurutnya, selepas pemeriksaan darah dan rujukan di hospital pakar, dia amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai penyakit kanser usus yang dihidapinya itu.

“Saya perlu berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Bahagian perut ditebuk bagi membolehkan saya membuang air kencing dan air besar melalui sejenis beg khas,” katanya.

Dia kemudiannya membuat rawatan kemoterapi di Batu Pahat, sebelum disahkan menghidap kanser paru-paru dan hati.

Kesukaran untuk bergerak menyebabkan dia payah meneruskan pekerjaan sebagai penjual air tebu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dia bersyukur apabila isteri Suwarni Kemis, 58, dan anak-anak sentiasa berada di sisi.

“Anak sulung Mohd Fauzan, 23, kini menjaga dan menguruskan saya. Manakala anak ketiga sedang menunggu latihan praktikal selepas selesai belajar di sebuah kolej kemahiran.

“Anak bongsu, Siti Halijah sedang menunggu keputusan SPM. Anak kedua Nur Liyana, 22, bekerja bersama ibunya di sebuah kilang di bandar Pontian,” katanya.

Mohd Yusoff memberitahu, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM50 bagi menggantikan beg khas yang menyalurkan najis dan air kencing dalam tempoh sekurang-sekurangnya tiga hari sekali.

“Syukur, orang kampung banyak membantu. Mesin air tebu yang jadi sumber rezeki saya, pun daripada orang kampung. Dulu saya merupakan penjual dodol,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (5) Mukim Ayer Baloi, Rahman Hosman berkata, pihaknya telah menziarahi Mohd Yusoff untuk mendengar keluhan beliau yang menghidap empat jenis kanser.

Katanya, beliau telah berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) sebelum ini bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya untuk Mohd Yusoff.

Hadir sama menziarahi Mohd Yusoff, Ahli Majlis Pimpinan Keadilan Johor, Haniff@Ghazali Hosman.