Premis haram ceroboh tanah kerajaan diroboh

Premis yang didapati menceroboh tanah kerajaan dirobohkan dalam operasi bersepadu itu.
Premis yang didapati menceroboh tanah kerajaan dirobohkan dalam operasi bersepadu itu.
A
A
A

RAWANG - Sebuah premis stor dan bengkel jentera berat yang beroperasi secara haram di pinggir Sungai Rawang dirobohkan menerusi satu operasi bersepadu yang dilaksanakan hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, pihak berkuasa mengambil tindakan berkenaan selepas pemilik premis terlibat didapati menceroboh tanah kerajaan seluas 2.2 ekar dan rezab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang jaraknya hanya 20 meter dari tebing sungai terbabit.

Menurutnya, tindakan perobohan itu dilaksanakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN).

"Kilang ini didapati telah menceroboh tanah kerajaan dan tindakan perobohan telah diambil menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan ini," katanya selepas operasi terbabit.

Operasi bermula jam 10 pagi itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), JPS, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan polis.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak juga akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pemilik premis berkenaan selepas ini.

SZE HAN
SZE HAN

"Difahamkan premis ini telah beroperasi selama 10 tahun dan notis pengosongan juga sudah diberikan sebanyak dua kali sejak September lalu, namun tiada tindakan daripada pemiliknya.

Artikel Berkaitan:

"Empat lagi premis seumpama ini yang beroperasi secara haram telah dikenal pasti beroperasi di dalam pentadbiran MPS dan akan dirobohkan dalam tempoh dua minggu," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga kini dalam perancangan untuk memindahkan premis dan bengkel jentera berat ke lokasi yang lebih bersesuaian.

"Selain itu, orang ramai juga di minta memberikan kerjasama sekiranya terlihat sebarang aktiviti mencurigakan dan melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.