Peguam didakwa tipu anak guam cecah RM67,000

Nagarajan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas empat pertuduhan menipu anak guamnya.
Nagarajan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas empat pertuduhan menipu anak guamnya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu anak guamnya supaya tidak ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 2017 lalu.

Tertuduh, P Nagarajan, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan S Bala Krishnan untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa supaya tidak ditangkap oleh SPRM berkaitan siasatan penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Tindakan itu mendorong mangsa menyerahkan wang keseluruhannya berjumlah RM67,000 melalui cek dan pindahan Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) ke akaun Tetuan Nagarajan Peri & Co dan akaun CIMB tertuduh.

Kejadian didakwa dilakukan di beberapa kawasan sekitar Kajang antara 18 September dan 1 November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam R Vikram, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar lebih rendah memandangkan punca pendapatan firma guamannya kini terjejas akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah jaminan yang dicadangkan terlalu tinggi, jadi kami berharap jumlahnya diletakkan sebanyak RM20,000 untuk semua tuduhan.

“Selain terjejas akibat Covid-19, anak guam saya juga mempunyai masalah kesihatan iaitu menghidap kencing manis,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikehendaki mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 22 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.