X

Kindly register in order to view this article
!

Potensi kewangan Islam kekal cerah pasca Covid-19

Bursa Malaysia. Gambar kecil: Abdul Wahid
A
A

KUALA LUMPUR - Potensi jangka panjang kewangan Islam kekal cerah dalam tempoh pasca Covid-19 berikutan prinsipnya yang inklusif serta menggalakkan kestabilan kewangan, kata Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, sejajar dengan peralihan dasar-dasar ke arah memastikan pembangunan yang mampan, Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) juga dijangka dapat membantu memperluas jangkauan kewangan Islam berikutan faktor seperti pelarasan serta pertindihan yang ketara.

“Malaysia misalnya telah lama diperakui sebagai peneraju kewangan Islam, kebanyakannya disebabkan oleh ekosistem serba kondusif, kerangka kawal selia yang efektif dan pembangunan modal insan yang kukuh," katanya pada Persidangan Audit Syariah 2020 yang diadakan secara maya hari ini.

Menurut Abdul Wahid, Malaysia turut melakar detik bermakna menerusi beberapa pencapaian pertama serta inovasi bagi pengurusan dana Islam yang menyaksikan pelbagai produk berasaskan Islam diperkenalkan di pasaran selain membolehkan negara ini muncul sebagai dana Islam global terbesar dari segi aset di bawah pengurusan.

"Di pasaran ekuiti, kedudukan Bursa Malaysia sebagai platform pelaburan patuh syariah telah menjadikannya sebagai pasaran global bagi tujuan penyenaraian dan pelaburan berasaskan elemen itu," katanya.

Beliau berkata, setakat Oktober 2020, sebanyak 718 daripada 937 syarikat yang tersenarai atau 77 peratus merupakan patuh syariah yang meliputi 72 peratus daripada jumlah modal pasaran.

Menurutnya, dalam usaha menerapkan pengauditan syariah ke dalam arus perdana, peningkatan ketara permintaan bagi produk-produk kewangan patuh syariah juga telah melonjakkan kepentingan proses saringan dan audit pelaburan yang lebih teliti.

"Beberapa isu yang dihadapi ini membabitkan kaedah saringan tidak konsisten di negara-negara serta pertubuhan yang berbeza. Ini berikutan perbezaan kaedah metodologi itu yang hanya menambah kos dan boleh menjejaskan pertumbuhan kewangan Islam dalam jangka panjang," katanya.

Abdul Wahid turut menegaskan kepentingan pengauditan syariah sebagai inisiatif memastikan pematuhan serta mengekalkan kewibawaan kewangan Islam dalam kalangan pihak berkepentingan dengan memberi kebebasan jaminan syariah yang lebih meluas.

Beliau juga menyifatkan pemahaman terhadap pelaksanaan kerangka audit syariah dari perspektif modal insan yang cekap dan efisien masih terbatas dan memerlukan usaha meningkatkan bilangan pekerja dalam aspek audit tersebut.

"Di Malaysia, tumpuan semasa kebanyakannya terhadap audit syariah dalaman yang mencetuskan beberapa perdebatan mengenai kebebasannya dalam beberapa cabaran, termasuk keterbatasan sumber yang layak juga mengekang kejayaan pelaksanaan audit syariah luaran.

"Keterbatasan sumber dari segi kelayakan dan pengauditan syariah ini serta kekurangan pengalaman hanya menjejaskan kebebasan audit syariah yang boleh memberi kesan terhadap integriti organisasi," katanya.

Malah, Abdul Wahid berkata, ketetapan terhadap keperluan kecekapan bagi pengaudit syariah juga masih belum dibangunkan sepenuhnya.

"Terdapat potensi pertumbuhan besar untuk firma menawarkan perkhidmatan pengauditan syariah kepada institusi di luar Malaysia yang menjadi sebahagian daripada perkhidmatan sampingan kewangan Islam negara ini," katanya.

Beliau turut menegaskan isu-isu berkaitan syariah seperti standard pengauditan, kelayakan dan kebebasan juga perlu ditangani bagi memastikan kelancaran pembangunan industri kewangan Islam. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!