29 NGO gesa sekat AS jual senjata besar-besaran kepada UAE

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

WASHINGTON - Gabungan pertubuhan kawalan senjata dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS), penjualan senjata kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjumlah AS$23 bilion akan memburukkan lagi konflik di Yaman dan Libya, lapor Agensi Berita Sputnik.

Pada Isnin, Jawatankuasa Senat Perhubungan Luar Negeri mengadakan pertemuan tertutup dengan pegawai tinggi Jabatan Negara dan Pentagon berhubung pentadbiran Donald Trump yang meluluskan penjualan beberapa peralatan pertahanan termasuk 50 jet pejuang generasi kelima F-35 dan 18 Sistem Udara Kawalan Jauh MQ-9B.

"Kami pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menentang rancangan kerajaan AS untuk menjual lebih AS$23 bilion sistem senjata dan peluru terkini kepada UAE. Penjualan kepada UAE, pihak yang terbabit dalam konflik di Yaman dan Libya, akan mendorong bahaya awam yang berpanjangan dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan ini,” kata NGO itu dalam surat bantahan mereka.

Kumpulan tersebut meminta pentadbiran Trump dan bakal Presiden Joe Biden menghentikan penjualan ini serta sokongan AS ke atas perang di Yaman. Di samping itu, mereka mendesak Kongres agar tidak meluluskan penjualan senjata pada masa depan atau sokongan ketenteraan lain kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Yaman dan Libya.

Surat berkenaan ditandatangani 29 kumpulan termasuk Persatuan Kawalan Senjata, Hak Asasi Manusia Pertama, dan Pusat Dasar Antarabangsa, yang mengesan penjualan senjata. Inisiatif ini diketuai oleh Projek Demokrasi Timur Tengah (POMED), sebuah kumpulan penyokong yang mempunyai pejabat di Washington dan Tunisia. - Bernama

Artikel Berkaitan: