Jangan pinggir penggiat ekopelancongan

Muzaffar dan Musa
Muzaffar dan Musa
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak digesa tidak meminggirkan kumpulan penggiat ekopelancongan di negeri ini yang banyak menyumbang kepada pembangunan pelancongan khususnya di kawasan alam semula jadi.

Presiden Persatuan Malim Gunung Perak (MGP), Muzaffar Mohamad berkata, malim gunung dan Kumpulan Berakit Arus Deras (Kamparado) antara kumpulan yang perlu diberikan perhatian kerana sumbangan besar mereka menjadi penunjuk arah kepada peminat aktiviti rekreasi lasak.

Menurutnya, bukan itu sahaja, golongan ini turut terlibat dalam membantu aktiviti mencari dan menyelamat di kawasan bukit, gunung dan kawasan berair di negeri ini bersama-sama pasukan penyelamat sedia ada.

"Mereka ini disifatkan sebagai wira tak didendang kerana usaha yang dilakukan selama ini tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan. Sumbangan kepakaran mereka tidak boleh dinafikan dalam membantu kerja-kerja menyelamat.

"Kumpulan ini bukan sekadar diberikan sijil penghargaan sebaliknya diperakukan untuk bersama-sama pasukan penyelamat profesional dalam sebarang usaha mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, mengambil contoh kejadian kanak-kanak lemas di Sungai Chepor, Kamparado terlibat membantu anggota penyelamat mencari mangsa yang hanyut di Sungai Pari sehingga ditemukan.

Beliau berkata, sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh kumpulan ini cukup besar kerana mereka mempunyai aset serta kepakaran tersendiri untuk membantu kerja-kerja menyelamat.

Bagaimanapun jelas Muzaffar, kumpulan ini sedang berdepan cabaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila hampir kesemua aktiviti rekreasi dan pelancongan tidak dibenarkan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan malim gunung dan ahli Kamparado ini kehilangan pendapatan kerana mereka amat bergantung kepada industri ekopelancongan. Golongan ini perlu diberikan perhatian dan dibantu kerana selama ini merekalah yang menggerakan aktiviti lasak ekopelancongan di negeri ini.

"Sungguhpun mereka tiada pendapatan, jika bantuan diperlukan untuk aktiviti menyelamat, mereka akan turun padang dengan modal sendiri menjalankan tanggungjawab membantu masyarakat," katanya.

Muzaffar berkata, menjelang pembentangan Bajet Perak 2021, pihaknya berharap agar mereka tidak dipinggirkan dan ahli-ahli yang terjejas teruk dapat dibantu sekurang-kurangnya sehingga semua sekatan terhadap aktiviti pelancongan ditamatkan.

Menurutnya, biarpun berdepan saat sukar, mereka akan terus membantu anggota penyelamat apabila diperlukan kerana minat dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Datuk Musa Nordin berkata, kumpulan seperti MGP dan Kamparado perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dengan memberikan sejumlah dana khusus kepada mereka.

Katanya, dana itu bukan sahaja untuk menghargai sumbangan mereka tetapi dapat membantu untuk memenuhi sebarang keperluan terutama membantu ahli mahupun menjalankan aktiviti menyelamat.

Beliau berkata, selama ini mereka mengeluarkan perbelanjaan sendiri menyewa lori dan peralatan lain untuk membawa aset mereka membantu operasi menyelamat.

TAMAT