'Terkejut terima tunggakan bil telco hingga RM22,000'

Mohamad Yusrizal (duduk) dan mangsa menunjukkan laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) di Pejabat Cake hari ini.
Mohamad Yusrizal (duduk) dan mangsa menunjukkan laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM) di Pejabat Cake hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa mangsa yang tertipu dengan Syarikat Telekomunikasi (Telco) membuat aduan di Pejabat Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Alor Setar hari ini.

Mereka mendakwa tunggakan bil telefon mencecah sehingga ribuan ringgit.

Seorang mangsa dikenali sebagai Abdullah, 29, berkata, bil tunggakan telefon bimbitnya mencecah RM16,000 selepas membuat semakan pada Oktober lalu di sebuah kedai wakil penjual Telco di Alor Setar.

Lebih mengejutkan Abdullah turut mendapati dua lagi akaun palsu dan empat nombor bimbit didaftarkan di atas namanya.

"Saya tidak menyedari tunggakan tersebut kerana seperti biasa membayar bil bulanan telefonnya sebanyak RM150 setiap bulan," ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Alor Setar semalam.

Katanya, pada awal tahun ini dia ditawarkan telefon baharu kerana menurut jurujual di kedai Telco tersebut sedang mengadakan promosi.

"Saya menerima tawaran tersebut. Selepas ambil cap jari saya, dia kata jika ada kawan-kawan yang minat boleh datang untuk ambil cap jari untuk semak kelayakan.

"Saya maklumkan kepada 15 orang termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan saya dan mereka turut berminat. Mereka datang membuat semakan cap jari dan semua dapat promosi telefon tersebut. Kini mereka semua turut menjadi mangsa dan terima tunggakan bil seperti saya di antara RM2,000 sehingga RM22,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rakan Abdullah yang dikenali Safuan, 30 berkata, juga menerima surat saman yang meminta membayar bil tunggakan berjumlah RM8,402 yang diposkan ke rumahnya pada Oktober lalu.

Mohamad Yusrizal (duduk) melihat laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa di Pejabat Cake di Alor Setar hari ini.
Mohamad Yusrizal (duduk) melihat laporan polis yang telah dibuat oleh mangsa di Pejabat Cake di Alor Setar hari ini.

Menurutnya, dia ke kedai telco tersebut untuk memaklumkan perkara tersebut dan mereka memintanya membuat laporan polis.

"Abdullah sudah maklumkan kepada kami tentang perkara ini dan saya juga telah membuat laporan di IPD Kota Setar pada 14 November lalu. Saya dapati dua akaun palsu telah didaftarkan atas nama saya sejak Mac lalu," katanya.

"Seorang lagi mangsa yang dikenali Siti Fatimah, 34, berkata, dia hanya ke kedai tersebut untuk membuat semakan cap jari untuk mengetahui kelayakan selepas melihat ada promosi telefon baru.

Menurutnya, bagaimanapun dia tidak menerima maklum balas daripada telco tersebut selepas beberapa hari dan menganggap dirinya tidak layak.

"Tiba-tiba pada 22 September lalu, bil tunggakan pelan internet berjumlah RM2,242.40 yang didaftarkan atas saya sampai ke rumah. Saya tidak guna dan daftar pun pelan internet tersebut.

"Saya kini bimbang bil internet tersebut akan terus naik jika tidak dipotong segera,"katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Cake menerima aduan lebih 50 mangsa tertipu dengan Telco sehingga mengakibatkan tunggakan bil mereka secara keseluruhan mencecah RM547,436.34.

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, mangsa yang berumur 20-an sehingga 30-an itu dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi proses siasatan pihak berkuasa.