Ringgit dibuka rendah menjelang pengumuman OPEC

Ringgit memulakan bulan terakhir 2020 dengan dibuka rendah berbanding dolar AS ketika pasaran tukaran asing tempatan menunggu pengumuman OPEC mengenai lanjutan kuota pengeluaran minyak yang tertangguh.
Ringgit memulakan bulan terakhir 2020 dengan dibuka rendah berbanding dolar AS ketika pasaran tukaran asing tempatan menunggu pengumuman OPEC mengenai lanjutan kuota pengeluaran minyak yang tertangguh.
A
A
A

RINGGIT memulakan bulan terakhir 2020 dengan dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pasaran tukaran asing tempatan menunggu pengumuman Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengenai lanjutan kuota pengeluaran minyak yang tertangguh.

Pada 9.01 pagi ini, ringgit diniagakan pada paras 4.0740/0790 berbanding dolar AS daripada paras 4.0730/0750 sewaktu ditutup pada Isnin.

Agensi berita Reuters memetik sumber melaporkan, OPEC+ yang turut disertai Rusia dan negara pengeluar minyak lain, telah menangguhkan rundingan mengenai dasar pengeluaran minyak mentah bagi 2021 sehingga 3 Disember 2020.

Ini berikutan dalam kalangan penggiat utamanya masih tidak bersetuju mengenai kuota pengeluaran di tengah-tengah kelemahan permintaan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, sebagaimana mata wang lain yang turut mendapat impak akibat perkembangan berkaitan minyak, sebarang keputusan OPEC+ dijangka memberi kesan lebih ketara daripada jangkaan awal.

“Berita utamanya adalah Arab Saudi dikatakan sedang menimbang untuk melepaskan peranannya sebagai pengerusi bersama Jawatankuasa Bersama Pemantauan Peringkat Menteri (JMMC) OPEC+ sepertimana dilaporkan media dan ini memberi tekanan terhadap harga minyak mentah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Innes, Arab Saudi memegang jawatan itu bersama Rusia dan tujuan sebenar negara Arab itu berbuat demikian juga masih tidak diketahui setakat ini.

“Agak sukar untuk membayangkan bagaimana OPEC+ tanpa penglibatan Arab Saudi di kedudukan utamanya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Innes berkata, ringgit akan turut dipengaruhi oleh sentimen terhadap dolar AS.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent susut 1.22 peratus kepada AS$47.59 setong.

Di peringkat tempatan, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain, kecuali berbanding pound Britain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0412/0461 daripada 3.0455/0486 sewaktu ditutup pada Isnin, naik berbanding yen kepada 3.9057/9116 daripada 3.9148/9171 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8652/8724 daripada 4.8807/8843 semalam.

Namun, berbanding pound Britain, ringgit susut kepada 5.4355/4426 daripada 5.4277/4308 semalam. - Bernama