Polis tahan dua warga Nepal,rampas barang curi RM145,000

Polis tahan dua lelaki warga Nepal yang merampas pelbagai peralatan disyaki barang curi bernilai sekitar RM145,00 di sebuah restoran di Puchong dekat sini Jumaat lepas. - Foto 123RF
Polis tahan dua lelaki warga Nepal yang merampas pelbagai peralatan disyaki barang curi bernilai sekitar RM145,00 di sebuah restoran di Puchong dekat sini Jumaat lepas. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan dua lelaki warga Nepal yang merampas pelbagai peralatan yang disyaki barang curi bernilai sekitar RM145,00 di sebuah restoran di Puchong dekat sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, susulan penahanan kedua-dua suspek yang berumur 32 dan 23 tahun pada kira-kira jam 4 petang, polis menemui pelbagai peralatan disyaki barang curi.

Beliau berkata, antara yang ditemui termasuk 99 kotak plastik berwarna putih dengan setiap kotak berisi 10 unit alat pemotong aluminium, yang disyaki dilarikan dari sebuah kilang di Meru, Klang, pada bulan Mac lepas.

"Ketika tangkapan, separuh barang curi (dari kilang) ditemui ada pada mereka dan separuh lagi disimpan di sebuah rumah sewa di Bukit Bintang, Kuala Lumpur," katanya dan menambah salah seorang suspek pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang berkenaan kira-kira dua tahun lepas.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959 dan kes juga disiasat bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan," tambahnya.

Sementara itu di bandar raya, satu kumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng 36 Selayang’ yang aktif dalam pelbagai kegiatan samun, bunuh dan ugut, tumpas selepas polis memberkas ketua geng itu di rumahnya di Damansara, Petaling Jaya, pada 31 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata ketua geng itu yang dikenali sebagai 'Malik', 31, ditahan kerana terlibat dalam jenayah sekitar Selayang dan Batu Caves sejak 2017, termasuk kes bunuh pada Julai tahun lepas, dengan 16 ahlinya telah ditahan sebelum ini.

"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver disyaki digunakan dalam pelbagai jenayah di daerah Gombak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini.

Artikel Berkaitan:

Arifai berkata, Malik sehingga kini dilaporkan mempunyai 10 rekod jenayah, antaranya merusuh, mendatangkan cedera parah menggunakan senjata dan melakukan khianat dengan api serta 21 kes dilaporkan membabitkan kegiatan jenayah dilakukan geng berkenaan.

Sehingga kini sembilan daripada ahli geng berkenaan telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 manakala tujuh lagi telah didakwa di mahkamah. - Bernama