'Memang saya risau'

Aterta
Aterta
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui risau dengan prestasi yang dipamerkan pemainnya selepas tewas kepada Wolverhampton Wanderes 1-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Menurutnya, dia mengakui pasukan itu juga sedang bergelut terutama untuk bahagian serangan pasukan itu yang tajam mencari lebih banyak gol.

"Memang saya risau. Saya bertanggungjawab dengan kekalahan ini tapi saya perlu menyatakan reaksi yang ditunjukkan pasukan, cara kami bermain di babak kedua.

"Apa yang saya harapkan daripada pemain mereka telah cuba laksanakan pada separuh masa kedua tetapi kami tidak mendapat hasil yang diharapkan.

"Kami perlu jaringkan gol kerana peluang yang tercipta tanpa gol adalah perkara sia-sia. Ada perkara yang kami belajar daripada perlawanan ini dan ia perlu dijadikan pengajaran buat semua pemain," katanya.

Dalam perlawanan itu, Pedro Neto membuka tirai jaringan buat Wolves pada minit ke-27 sebelum Gabriel menyamakan keduukan tiga minit kemudian. Daniel Podenco menjadi wira Wolves dengan gol kemenangan pada minit ke-42.

Keputusan itu menyaksikan The Gunners gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir EPL selain mencatat permulaan musim terburuk dalam sejarah kelab itu sejak 1981/1982 dengan mengumpul 12 mata daripada 10 perlawanan.

Malah, pasukan Utara London itu juga sedang ketandusan gol dengan hanya mampu menjaringkan dua gol dalam enam perlawanan terakhir EPL.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Arteta tidak memikirkan mengenai masa depannya di kelab tersebut walaupun sudah timbul gesaan agar dia dipecat.

"Hari di mana saya membuat keputusan untuk menjadi pengendali pasukan, saya tahu satu hari nanti akan dipecat atau meninggalkan kelab.

"Ketika ini saya hanya memberikan tumpuan untuk memastikan pemain saya berada pada tahap terbaik dan kembali mencatatkan kemenangan selepas ini," katanya.