Kesan terhadap cukai e-rokok

Di Malaysia, cecair elektronik yang mengandungi nikotin dan lain-lain bahan berada di bawah Jadual Racun adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Di Malaysia, cecair elektronik yang mengandungi nikotin dan lain-lain bahan berada di bawah Jadual Racun adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
A
A
A

DI Malaysia, kerajaan terpaksa menanggung beban kos rawatan sebanyak RM7 bilion menjelang tahun 2025, antara penyebab utama adalah kesan merokok tembakau.

Bagi mengawal penjualan rokok tersebut, Akta Kawalan Tembakau yang dirangka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan membanteras penggunaan tembakau haram dan mengawal produk tembakau, rokok elektronik atau e-rokok (dengan nikotin), shisha, vape (jus tiada nikotin) dan lain-lain.

Akta itu sedang dalam semakan Pejabat Peguam Negara, manakala tiga kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), KKM serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah bertanggungjawab dalam penyediaan, pengawalan, penjualan, pelabelan dan standard e-rokok.

Persoalannya, adakah langkah-langkah membanteras tabiat merokok tembakau itu berkesan mengurangkan beban penyakit akibat merokok di Malaysia?

Oxford Economics 2019 melaporkan, Malaysia dianggarkan mencatatkan jumlah pelarian cukai akibat jualan rokok haram lebih RM5.1 bilion pada tahun 2018 berikutan aktiviti penjualan, rasuah dan penyeludupan rokok haram.

Penggunaan rokok haram merangkumi 59 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan rokok di Malaysia pada tahun 2018, sekali gus menjadikan negara ini pengguna rokok haram tertinggi di dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan KKM menganggarkan beban kos penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) seperti kanser dan darah tinggi ke atas negara adalah sekitar RM8.91 bilion atau 0.65 peratus keluaran kasar dalam negara (KDNK).

Menurut The Edge Financial Daily (2017), cukai terhadap industri tembakau telah naik sebanyak 14 peratus pada September 2013, 12 peratus pada November 2014 dan 36 peratus pada November 2015. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) pada 2017, menyatakan bahawa akibat meningkatnya kos jualan rokok tembakau, (akibat peningkatan cukai), telah menyebabkan perokok bertukar kepada penggunaan rokok haram yang tersedia dengan lebih mudah dan kos yang rendah.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, pengumuman Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tentang duti eksais ke atas peranti dan cecair rokok elektronik menunjukkan kesungguhan kerajaan membenarkan dan juga pemerolehan produk nikotin kurang asap, yang lebih selamat berbanding rokok tembakau dan berpotensi menyingkirkan tabiat merokok dengan bimbingan dan dorongan kakitangan kesihatan.

Namun begitu, cukai e-rokok, mungkin mengakibatkan pengguna e-rokok bertukar kembali ke rokok tembakau haram sedangkan keperluan perokok adalah kemudahan akses ke atas produk kurang dan bebas asap jika perokok tegar ini tidak berupaya berhenti terus daripada merokok.

Kegunaan produk bebas asap, disokong oleh beberapa artikel iaitu bersifat kurang toksik kerana kurang pembakaran merbahaya dan beberapa kajian mendapati ia boleh membantu (bersama perubahan tingkah laku) dalam usaha berhenti merokok seperti yang diumumkan oleh Public Health England (PHE) dalam laporan ke-6 pada tahun 2020.

Ada juga kajian dari England yang menunjukkan golongan perokok dalam kalangan pekerja mengutamakan faktor kos peranti rokok elektronik, di mana pembeli tertumpu ke kos belian yang lebih murah.

Akhbar Berita Harian (BH) pada November 2019 melaporkan, Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Rizani Zakaria menyatakan MEVTA dan industri vape sedia patuh termasuk aspek pelesenan, percukaian dan standard produk.

Akhbar itu pada November 2020 melaporkan, Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (MOVE), Samsul Kamal Ariffin berkata, pihaknya meminta supaya kerajaan mempertimbangkan untuk tidak mengenakan cukai terhadap cecair vape yang tidak mengandungi nikotin.

Bagaimanapun, diakui kegunaan rokok alternatif memerlukan penguatkuasaan dari aspek kualiti produk (supaya tidak tercemar fungi dan bakteria), tidak mengandungi diacetyl, peranti selamat (child safe/selamat daripada digunakan oleh anak-anak kecil), pengguna hanya untuk dewasa sahaja lebih 18 tahun dan jualan terkawal cecair dan produk nikotin.

Larangan

Di Malaysia, cecair elektronik yang mengandungi nikotin dan lain-lain bahan berada di bawah Jadual Racun adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. Larangan keras jualan dan akses, juga harus dikenakan kepada pengguna remaja yang ingin mencuba menghisap rokok, malah apa-apa jua kegunaan produk nikotin.

Kajian Erikas Simonavicius dan rakan-rakan dari British Medical Journal (BMJ) pada 2018, menyatakan berbanding dengan rokok tembakau, produk heat not burn (HNB) mengeluarkan 83 peratus nikotin sahaja, kurang toksik sebanyak 62 peratus dan kurang jirim pepejal (particulate matter) sebanyak 75 peratus.

Dari Sektor Kawalan Tembakau Bahagian Kawalan Penyakit KKM, bilangan perokok yang berjaya berhenti merokok selepas mengikuti perkhidmatan berhenti merokok KKM meningkat daripada 2,541 bilangan perokok berhenti pada tahun 2016, menaik kepada 3,682 di tahun 2017.

Akhbar Forbes pada Februari 2020 melaporkan kajian 6 universiti mendapati bahawa daripada 35,000 penjual dari tahun 2011 ke 2017, akibat peningkatan 10 peratus harga e-rokok, maka jualannya menurun sehingga 26 peratus.

Ini efek yang baik tetapi malangnya menyebabkan jualan rokok tembakau (yang lebih berbahaya) meningkat mendadak sebanyak 11 peratus dan dikhuatiri menggalakkan perokok tembakau untuk meneruskan tabiat sedia.

Kerajaan perlu memastikan efek yang dilaksana tidak mengakibatkan kesan yang sama seperti mana akibat kenaikan cukai rokok tembakau dan pengguna e-rokok tidak pula beralih ke rokok tembakau haram yang sudah berleluasa.

* PROFESOR DR SHARIFA EZAT WAN PUTEH ialah Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)