Hanya Tunisia berjaya dalam Arab Spring

Tunisia merupakan satu-satunya negara yang berjaya dalam peralihan kuasa daripada pemerintahan bercirikan diktator kepada demokrasi. - Foto AFP
Tunisia merupakan satu-satunya negara yang berjaya dalam peralihan kuasa daripada pemerintahan bercirikan diktator kepada demokrasi. - Foto AFP
A
A
A

KIRA-kira 10 tahun lalu, kebangkitan penduduk Arab atau lebih dikenali sebagai Arab Spring menuntut supaya demokrasi dilakukan di negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara.

Bagaimanapun, hanya Tunisia yang berjaya melakukan perubahan kerajaan daripada pemerintahan bercirikan diktator kepada demokratik manakala negara-negara lain berakhir dengan perang saudara, tidak stabil, rampasan kuasa dan penindasan.

Kebangkitan Arab Spring itu kelihatan tidak berjaya di Syria, Mesir, Libya dan Yemen.

Syria berhadapan dengan perang saudara sejak tahun 2011 sehingga kini dengan angka kematian melebihi 384,000 orang dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal dan Bashar Al-Assad masih kekal memerintah sebagai Presiden.

Perang di negara itu juga melibatkan kumpulan-kumpulan bersenjata yang mendapat bantuan dari Iran, Turki, Rusia, Kurdistan dengan tentera Amerika Syarikat (AS) turut campur tangan selain penglibatan kumpulan Negara Islam (IS).

Yemen pula masih terjerumus dalam peperangan walaupun pemerintahan selama tiga dekad Presiden pertama negara itu, Ali Abdullah Saleh berjaya ditamatkan pada Februari 2012 selepas setahun rakyat menuntut perubahan demokratik dilakukan.

Beliau menjadi Presiden pertama Yemen yang disatukan selepas Yemen Utara dan Yemen Selatan bergabung membentuk sebuah negara bersatu pada tahun 1990 namun Ali yang merupakan bekas pegawai tentera kemudian terpaksa meletakkan jawatan pada Februari 2012 selepas kebangkitan rakyat yang menuntut pemerintahan demokratik dilakukan, rasuah dan penyalahgunaan hak asasi manusia dihapuskan.

Beliau kemudian menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Abdrabbuh Mansur Hadi yang menjadi Presiden Yemen yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kini hidup di Arab Saudi berikutan peperangan saudara melibatkan kumpulan Houthi yang menentang pemerintahannya selain mendapat sokongan daripada Iran.

Artikel Berkaitan:

Tentera Arab Saudi turut campur tangan dalam perang saudara itu apabila ia menyokong kerajaan pimpinan Abdrabuh Mansur sejak tahun 2015.

Dalam pada itu, Mesir pula kini diperintah oleh bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi apabila tentera di bawah pimpinannya melakukan rampasan kuasa ke atas Presiden pertama yang dipilih dalam kalangan orang awam iaitu Mohamed Morsi pada tahun 2013.

Mohamed Morsi pada mulanya dipilih menjadi Presiden menerusi pilihan raya yang bebas bagi menggantikan Hosni Mubarak iaitu seorang bekas pegawai tentera selepas beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari 2011 berikutan kebangkitan rakyat.

Mubarak terpaksa meletakkan jawatan selepas rakyat melakukan tunjuk perasaan bagi menuntut demokrasi dilaksanakan ke atas negara itu selama 18 hari sekali gus menamatkan pemerintahannya yang melibatkan tempoh hampir tiga dekad namun pihak tentera melakukan rampasan kuasa ke atas Morsi selepas tunjuk perasaan antipemerintahannya berhubung dengan isu-isu ekonomi, kekurangan bekalan tenaga, diplomatik, keselamatan dan penolakannya terhadap permintaan daripada jeneral-jeneral tentera supaya krisis politik selepas era Mubarak diselesaikan.

Pihak tentera kemudian melantik seorang hakim Mahkamah Perlembagaan, Adly Mansour sebagai Presiden sementara sebelum Sisi dipilih menjadi Presiden melalui pilihan raya pada tahun 2014 dan 2018.

Bagaimanapun, kumpulan-kumpulan hak asasi manusia menuduh pemerintahannya melaksanakan penindasan di negara tersebut.

Sementara itu, Libya kini diperintah oleh dua buah kerajaan iaitu sebuah kerajaan yang diiktiraf oleh PBB berpangkalan di Tripoli sejak tahun 2015 dan sebuah lagi kerajaan di timur negara tersebut di bawah pimpinan komander Tentera Kebangsaan Libya, Khalifa Haftar.

Pembentukan dua buah kerajaan itu berlaku selepas rakyat bangkit bagi menuntut demokrasi dilaksanakan sekali gus menentang pemerintahan rejim Muammar Gaddafi yang akhirnya dibunuh oleh rakyatnya sendiri selepas memerintah selama 42 tahun pada 20 Oktober 2011.

Para penunjuk perasaan dan pejuang anti-Gaddafi yang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memenangi kebangkitan tersebut tetapi Libya yang kaya dengan minyak masih belum aman sepenuhnya sehingga kini.

Ini adalah kerana negara itu terlibat dalam peperangan antara kumpulan-kumpulan kerajaan yang diiktiraf oleh PBB dengan kumpulan-kumpulan Haftar kerana mahu menguasai negara tersebut.

Bagaimanapun, dalam rundingan bagi mencari keamanan di negara tersebut baru-baru ini, Ketua Misi Bantuan PBB di Libya, Stephanie Williams mengumumkan bahawa pihak-pihak yang bertelagah telah bersetuju untuk mengadakan pilihan raya pada 24 Disember 2021.

Dalam banyak-banyak negara, cuma Tunisia sahaja yang berjaya dalam peralihan kerajaan kepada demokrasi selepas tunjuk perasaan antipemerintahan Presiden Zine El Abdine Ben Ali yang mengamalkan pemerintahan diktator dan menyalahgunakan hak-hak asasi manusia di negaranya terpaksa meletakkan jawatan selepas 23 tahun berkuasa.

Kebangkitan rakyat di Tunisia bermula selepas seorang penjaja muda jalanan membakar diri pada 17 Disember 2010 sekali gus mencetuskan protes tentang kemiskinan dan pengangguran di negara tersebut.

Proses peralihan kerajaan kepada demokrasi di Tunisia dipuji di peringkat antarabangsa tetapi ia juga membawa kepada isu keselamatan apabila tiga serangan pengganas didakwa dilakukan oleh kumpulan IS.

Seorang penulis buku Arab Winter menyatakan bahawa berbeza dengan kegagalan Arab Spring di Mesir dan Syria, keadaan sebaliknya berlaku di Tunisia iaitu tempat bermulanya kebangkitan itu. - Agensi