Pengajaran, amaran daripada Kluster Teratai

Kluster tempat kerja khususnya di Selangor mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan kes positif Covid-19 baharu sejak akhir-akhir ini di Selangor. -Foto Bernama
Kluster tempat kerja khususnya di Selangor mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan kes positif Covid-19 baharu sejak akhir-akhir ini di Selangor. -Foto Bernama
A
A
A

MENGIKUT statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kluster tempat kerja khususnya di Selangor mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan kes positif Covid-19 baharu sejak akhir-akhir ini di negeri berkenaan.

Setakat ini sebanyak 119 kluster yang dilaporkan berkaitan tempat kerja dengan 83 masih aktif manakala seramai 77,201 individu sudah disaring. Daripada 119 kluster itu, sebanyak 12,079 kes didapati positif Covid-19 membabitkan 4,398 kes warga tempatan dan 7,681 kes warga asing.

Ia jelas menunjukkan kes Covid-19 di Malaysia masih agak membimbangkan dan semua pihak tidak boleh memandang ringan tahap penularannya, lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan tempat kerja tertentu seperti di tapak pembinaan, asrama pekerja kilang dan sebagainya.

Di Selangor, Kluster Teratai yang melibatkan kakitangan di kilang sarung tangan Top Glove sudah pasti membimbangkan ramai orang. Ia mula dilaporkan pada 7 November lalu apabila seramai 4,036 disahkan kes positif daripada 5,777 pekerjanya yang menjalani saringan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan sebelum ini mendakwa keadaan cukup menyedihkan di asrama pekerja Top Glove dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Tan Sri Lim Wee Chai bingung dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia itu memandangkan Saravanan sendiri pernah mengunjungi tempat penginapan pekerja tetapi tidak menyebut tentang masalah itu.

Memang tidak dinafikan, sebelum itu beberapa pihak termasuk laporan media dan badan bukan kerajaan (NGO) pernah mendedahkan mengenai asrama pekerja kilang terutama untuk pekerja warga asing yang berada dalam keadaan teruk dan kotor.

Sebagai pihak yang prihatin terhadap pekerjanya, pihak majikan perlulah menyediakan penginapan yang sempurna dan sesuai kepada kakitangan yang merupakan pekerja asing yang datang mencari rezeki di negara kita.

Artikel Berkaitan:

Semua pihak perlu mengambil iktibar daripada Kluster Teratai. Pihak majikan seharusnya mengimbangi antara kepentingan keuntungan dan keselamatan serta kesihatan pekerja.