Pakar forensik UK setuju laporan bedah siasat punca kematian Nora Anne

Nora Anne
Nora Anne
A
A
A

SEREMBAN - Pakar patologi forensik yang dilantik Mahkamah Koroner United Kingdom (UK) hari ini bersetuju dengan laporan bedah siasat Malaysia berhubung punca kematian remaja kelahiran Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin iaitu akibat pengulseran duodenum, perforasi dan pendarahan yang disebabkan kebuluran serta tekanan fisiologi.

Penyataan saksi enam halaman, Dr Nathaniel Roger Blair Cary, 63, berkata, berdasarkan pemeriksaannya ke atas jasad remaja itu di UK pada 28 Ogos tahun lepas dan dapatan rakan sejawatnya di Malaysia, beliau juga tidak menemukan sebarang tanda serangan seksual terhadap mangsa.

“Penemuan terhadap organ dalaman mendapati tidak ada penyakit semula jadi yang menyebabkan atau menyumbang kepada kematian," katanya sambil menambah bahawa bagaimanapun, beliau tidak dapat menjalankan pemeriksaan lanjut kerana keadaan mangsa yang mereput terutama ketika pakar patologi itu melakukannya 15 hari selepas mayat remaja itu dijumpai.

“Saya telah melihat salinan laporan pakar patologi dari Malaysia yang dibuat oleh Dr Siew Sheue Feng dan Dr Hanif Mahmud (kedua-duanya pakar patologi forensik), terdapat pemeriksaan teliti. Saya berpuas hati bahawa terdapat bukti pengulseran duodenum, perforasi dan pendarahan berdasarkan butiran terperinci yang disertakan.

Dr Cary yang juga saksi ke-41 dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ke-20 di hadapan Koroner Maimoonah Aid. Prosiding hari ini bersambung secara dalam talian.

Beliau juga telah mengenepikan kemungkinan terdapat serangan seksual ke atas mangsa selepas memeriksa kemaluan remaja itu.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar yang bertindak sebagai pegawai penyelaras inkues sama ada dapatan ini menunjukkan bahawa tiada bukti forensik positif berkaitan serangan seksual seperti yang dinyatakan dalam laporan bedah siasat Malaysia, Dr Cary berkata, beliau bersetuju.

“Saya tidak boleh mengenepikan kemungkinan itu berdasarkan pemeriksaan saya sahaja tetapi jika kita mengguna pakai laporan patologi Malaysia yang pada pendapat saya telah dilakukan dengan amat teliti, maka saya bersetuju bahawa tiada bukti positif dalam isu ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Sazali: Jika terdapat unsur jenayah, adakah anda akan menjumpainya pada mayat Nora Anne?

Dr Cary: Kebanyakan tanda terdapat unsur jenayah dalam mana-mana kes akan kelihatan dengan jelas, jadi pada saya punca kematian mangsa adalah seperti yang dirumuskan pakar patologi Malaysia iaitu pendarahan usus.

Ahmad Sazali: Maksud saya serangan fizikal dan kecederaan kerana mempertahankan diri?

Dr Cary: Pemeriksaan saya adalah amat terhad kerana keadaan mayat yang mereput tetapi pakar patologi yang terdahulu boleh memberikan pendapat yang lebih baik mengenai perkara itu.

Nora Anne, 15, didapati hilang pada 4 Ogos iaitu sehari selepas beliau dan keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan Kuala Lumpur.

Pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas dia dilaporkan hilang, mayatnya ditemui berhampiran sebatang anak sungai di sebuah lurah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari pusat peranginan di mana beliau dan keluarganya menetap, susulan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan bahawa kematian remaja itu, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya, tidak mempunyai unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan usus yang disebabkan kebuluran serta tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung pada 7 Disember depan. - Bernama