Sabah harap SPR pertimbang cadangan isytihar darurat di DUN Bugaya

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mempertimbangkan cadangan pengisytiharan darurat untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan ketika negeri ini masih berperang dengan wabak Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sama ada diadakan atau tidak pilihan raya ia adalah di bawah SPR dan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan yang jelas mengatakan jika ada kekosongan perlu diadakan PRK dalam tempoh 60 hari.

"Tetapi kalau kita ambil keadaan di Batu Sapi, ada langkah yang boleh diambil untuk mengelak diadakan pilihan raya dan ini telahpun diambil di Batu Sapi.

"Jadi kita harap SPR akan melihat apa yang dikuatkuasakan di Batu Sapi ini sebagai pilihan yang boleh dipertimbangkan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Innoprise di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media berhubung sama ada kerajaan negeri akan mencadangkan supaya PRK Bugaya ditangguhkan memandangkan kes Covid-19 masih tinggi di Sabah.

Bagaimanapun, Masidi berkata, keputusan untuk pengisytiharan darurat terletak pada kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kuasa untuk mengisytiharkan darurat adalah terletak pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Batu Sapi diadakan selepas proklamasi darurat tamat

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan pula perlu mendapat nasihat dan cadangan daripada SPR. Saya tidak perlu menjawabnya secara khusus tetapi barangkali kita boleh ambil keadaan di Batu Sapi sebagai pilihan apa yang perlu dibuat dalam kita menghadapi penularan Covid-19 yang masih tinggi," katanya.

Masidi sekali lagi menegaskan ini bukan masanya untuk bercakap mengenai pilihan raya kerana keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah menangani Covid-19.

SPR sebelum ini menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh mengundi bagi DUN Bugaya dan diadakan serentak dengan Parlimen Gerik, Perak.

Turut diadakan serentak adalah tarikh penamaan calon pada 4 Januari dan pengundian awal ditetapkan pada 12 Januari depan.

Dewan Rakyat hari ini pula dimaklumkan bahawa kerajaan akan mempertimbang untuk mencadangkan pengisytiharan darurat bagi kedua-dua pilihan raya itu sekiranya kawasan itu mempunyai risiko penularan Covid-19.

Kerusi DUN Bugaya kosong selepas penyandangnya Datin Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 17 November lalu akibat penyakit buah pinggang.