Lapan banduan maut rusuhan di penjara Sri Lanka

Beberapa anggota pihak berkuasa berkawal di Penjara Mahara, Colombo, Sri Lanka hari ini. - Foto AFP
Beberapa anggota pihak berkuasa berkawal di Penjara Mahara, Colombo, Sri Lanka hari ini. - Foto AFP
A
A
A

COLOMBO - Tembakan senjata api kedengaran hari ini di sebuah penjara yang dikawal ketat di Sri Lanka berikutan rusuhan para banduan sehingga mengakibatkan lapan orang terbunuh dan 55 lagi cedera, kata polis.

Ratusan polis mengepung penjara Mahara di luar ibu kota Colombo ketika ratusan lagi pengawal penjara berusaha menamatkan kekacauan itu.

Para banduan itu bergelut dengan pengawal-pengawal penjara semalam sehingga waktu malam selepas mereka memulakan kebakaran di dapur dan bertindak menahan dua orang wadar, kata polis dan penduduk.

"Dua pegawai telah diselamatkan dan dihantar ke hospital.

"Situasi kini berjaya dikawal," kata jurucakap polis, Ajith Rohana.

Katanya, seramai 600 pegawai termasuk 200 anggota polis ditempatkan di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pihak berkuasa penjara tidak menyatakan sama ada mereka telah mengambil alih keseluruhan kompleks penjara.

Mayat lapan banduan itu telah dibawa ke Hospital Ragama yang terletak berdekatan dengan penjara tersebut, kata sumber perubatan.

Artikel Berkaitan:

Seramai 55 banduan mengalami kecederaan dengan sebahagian daripada mereka berada dalam keadaan parah.

Rusuhan itu berlaku kerana mereka melakukan protes berhubung peningkatan jangkitan koronavirus (Covid-19), kata beberapa pegawai.

Pada Sabtu lalu, penjara-penjara di Sri Lanka telah menyaksikan minggu-minggu kekacauan berikutan pandemik Covid-19.

Bilangan kes-kes Covid-19 di penjara-penjara Sri Lanka adalah melebihi 1,000 kes pada Sabtu lalu.

Dua orang banduan dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19 itu.

Pada minggu lalu, seorang banduan terbunuh selepas dia terjatuh semasa cuba memanjat dinding penjara ketika kekacauan berlaku di Bogambara, wilayah tengah negara itu.

Penjara-penjara di seluruh Sri Lanka melaksanakan perintah berkurung pada minggu lalu ketika kes Covid-19 melibatkan banduan dan pengawal penjara meningkat.

Bilangan kematian akibat Covid-19 di Sri Lanka meningkat kepada 116 orang pada bulan ini manakala jangkitan pula melebihi 23,484 kes. - AFP