X

Kindly register in order to view this article
!

Mat Sabu saman Harakahdaily, pemimpin Pas Selangor

MOHAMAD
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu memfailkan saman terhadap Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dan akhbar Harakahdaily berkaitan artikel bertarikh 14 September 2020 yang dimuat naik dalam portal akhbar itu.

Menurut laporan Malaysiakini hari ini, Peguam Mohamad, Tetuan Amin Amirul & Partners telah mengemukakan writ saman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 28 Oktober lalu.

Selain itu, kertas kausa itu menamakan Roslan, portal dalam talian Harakahdaily, Ketua Editor Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob dan Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai defendan.

Roslan yang menulis artikel itu menyentuh mengenai peletakan jawatan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden Amanah dan turut merujuk kepada laporan berita dalam talian yang lain mengenai perkara berkenaan.

Pada 14 September, Husam dilaporkan menafikan dakwaan laporan berita beliau berselisih pendapat dengan Mohamad berhubung peletakan jawatannya sebagai naib presiden parti.

Ahli Parlimen Kota Raja itu dilapor menuntut ganti rugi am, berat dan teladan, serta faedah lima peratus atas ganti rugi yang dikira dari tarikh writ hingga pembayaran akhir.

“Mohamad juga mendesak permohonan maaf yang perlu dibuat di portal Harakahdaily dan akhbar cetak Harakah dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dan menarik balik laporan berkenaan.

“Beliau mendakwa artikel tersebut ditulis untuk menarik lebih ramai pengunjung ke portal Harakahdaily bagi tujuan keuntungan kewangan.

“Tambahnya, laporan itu diterbitkan Harakahdaily untuk kepentingan politik Pas yang merupakan sebahagian daripada pentadbiran PN,” lapor Malaysiakini.

Mohamad mendakwa defendan gagal mematuhi surat tuntutan yang dikeluarkan kepada mereka pada 24 September untuk menarik balik dakwaan dalam laporan itu, meminta maaf dan membayar ganti rugi kepadanya.

Seorang wakil dari firma undang-undang Tetuan Amin Amirul & Partners mengesahkan bahawa kertas kausa berkenaan telah disampaikan kepada semua defendan.

Wakil itu berkata berikutan pengurusan kes e-semakan (dalam talian) saman oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mahkamah menetapkan 7 Januari tahun depan untuk pengurusan kes selanjutnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!