Israel beku siasat skandal beli kapal selam

Beberapa penunjuk perasaan mengusung sebuah replika kapal selam ketika tunjuk perasaan menentang skandal rasuah dalam pembelian peralatan tentera itu di Tel Aviv baru-baru ini. - Foto AFP
Beberapa penunjuk perasaan mengusung sebuah replika kapal selam ketika tunjuk perasaan menentang skandal rasuah dalam pembelian peralatan tentera itu di Tel Aviv baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

BAITULMUQADDIS - Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz semalam membekukan siasatan skandal rasuah berhubung pembelian sebuah kapal selam Jerman yang menggegarkan pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Gantz berkata, pembekuan siasatan itu dibuat berikutan permintaan daripada pihak Peguam Negara, Avichai Mandelblit.

Katanya, Mandelblit meminta siasatan itu hanya akan dilakukan selepas Kementerian Keadilan Israel melakukan satu pemeriksaan jenayah berhubung skandal rasuah tersebut.

"Suruhanjaya (siasatan) akan melakukan kerja-kerja menurut arahan profesional daripada Peguam Negara," tambahnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Polis Israel mengesyaki beberapa individu yang berada di dalam dan di luar pasukan tentera negara itu terlibat dalam rasuah berhubung urusan pembelian sebuah kapal selam buatan Jerman yang dibina syarikat ThyssenKrupp berharga kira-kira AS$2 bilion (RM8.14 bilion).

Antara yang terlibat dalam skandal itu ialah seorang peguam kepada Netanyahu, David Shimron yang berdepan dengan dakwaan pengubahan wang haram berkaitan dengan pembelian kapal selam tersebut.

Netanyahu sebelum ini dituduh oleh bekas Menteri Pertahanan, Moshe Ya’alon kerana mengetuai usaha untuk membeli kapal selama dari syarikat ThyssenKrupp dengan menggunakan cara yang salah.

Perdana Menteri itu juga telah menyekat usaha bagi membentuk Suruhanjaya Siasatan di peringkat Parlimen bagi menyiasat skandal tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kes perbicaraan rasuah Netanyahu akan didengar pada Februari tahun depan atas dakwaan beliau menerima hadiah yang bernilai tinggi secara haram.

Netanyahu juga didakwa telah mendesak supaya satu undang-undang diluluskan bagi membolehkannya mendapat liputan media daripada sebuah portal berita yang dimiliki oleh seorang ahli perniagaan.

Beliau merupakan satu-satunya Perdana Menteri dalam sejarah Israel yang didakwa atas tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, Netanyahu pernah berkata bahawa dakwaan rasuah itu yang difailkan oleh Peguam Negara lantikannya merupakan satu usaha untuk menyingkirkannya daripada jawatan Perdana Menteri.

Sebelum ini, Netanyahu yang merupakan pemimpin Parti Likud dan Gantz daripada Parti Ketahanan Israel mengetepikan permusuhan masing-masing pada awal tahun ini bagi membentuk sebuah kerajaan campuran di negara tersebut. - Agensi