X

Kindly register in order to view this article
!

Kebimbangan keluarga didengari, rumah uzur dibaiki

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim (tiga, kanan) bersama Pengurus Operasi Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan, Zurawati Zulkifli (tiga, kiri) yang hadir menyampaikan bantuan baiki rumah dan keperluan dapur kepada keluarga ini.
A
A

KOTA BHARU - Kisah lima sekeluarga bimbang keselamatan mereka kerana tinggal di rumah pusaka yang uzur dan reput mendapat perhatian kerajaan negeri yang membekalkan kelengkapan membaiki kediaman itu di Kampung Cherang di sini hari ini.

Bantuan segera diterima pasangan suami isteri, Siti Sarah Hazmi, 32, dan Mohd Zulkhainain Razak, 31, bersama tiga anak mereka, Mohd Hafiz Danial, 11, Mohd Shakir Darwish, 6, serta Mohd Dafi Zafril, 2.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim berkata, kesempitan hidup dilalui keluarga berkenaan dalam perhatian kerajaan yang pernah membantu menggantikan lantai di rumah sama sebelum ini.

“Ketika itu bahagian yang rosak ialah kayu asal pada struktur rumah yang tidak diganti seperti di beranda dan berhampiran tandas.

“Kami membekalkan kayu bagi menggantikan lantai yang dimamah anai-anai manakala atap zink untuk bumbung di bahagian tandas dan menutup tempat bocor,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat beliau di Pasar Berek12 di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lantai reput, rumah hampir roboh

Mengulas lanjut, beliau berkata, keluarga itu turut menerima barangan dapur bulanan dan didaftarkan ke program Al-It’am.

“Bantuan akan berterusan sehingga ketua keluarga berpendapatan stabil dan dapat menampung keperluan keluarganya,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pembinaan rumah baharu berkenaan sukar untuk dilakukan berikutan kedudukan rumah di atas tanah rizab milik kerajaan yang terlalu hampir dengan tali air.

“Kita fikirkan cara lain untuk membantu seperti memberi semangat dan membekalkan peralatan seperti mesin jahit untuk isteri menjana ekonomi keluarga serta dapat berdikari,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarah ketika dihubungi memberitahu dia menghargai bantuan wakil rakyat serta orang ramai yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang datang ke rumah mereka.

“Terima kasih kepada semua yang memberi bantuan kerana meringankan beban dan yang penting rumah ini selamat untuk diduduki anak-anak,” katanya.

Sinar Harian Khamis lalu, melaporkan keadaan keluarga berkenaan yang bimbang keselamatan mereka berikutan tinggal di rumah pusaka yang terlalu uzur kerana berusia lebih satu abad.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!