Saringan Covid-19 pekerja asing bermula esok

Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula esok, majikan perlu melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja warga asing di beberapa kilang yang dikenal pasti oleh Kementerian Sumber Manusia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan, ujian itu tertumpu kepada kawasan berisiko tinggi di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah serta Labuan.

Beliau berkata syarikat yang terlibat perlu menyediakan Stesen Kuarantin (QS) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang bersesuaian.

"Syarikat juga perlu menanggung kos pengurusan QS dan PKRC, saraan makan minum dan penginapan pekerja. Majikan juga perlu menyediakan pengangkutan bagi membawa pekerja ke QS dan PKRC serta menanggung kos saringan Covid-19 pekerja.

Jika pekerja positif ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) dan tiada gejala, pekerja boleh ditempatkan di asrama pekerja yang disediakan oleh majikan dengan pengasingan daripada pekerja yang negatif RTK-Ag," katanya pada sidang akhbar harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya keadaan asrama tidak bersesuaian, pekerja perlu ditempatkan di PKRC yang disediakan oleh majikan.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, bagi pekerja didapati positif ujian RTK-Ag dan mempunyai gejala serius, mereka dimasukkan ke hospital manakala pekerja disahkan positif melalui ujian RT-PCR boleh terus ditempatkan di PKRC yang disediakan majikan atau dimasukkan ke hospital.

"Pekerja positif ujian RTK-Ag dan mempunyai gelaja ringan, mereka ditempatkan di PKRC yang disediakan oleh pihak majikan.

Artikel Berkaitan:

Semua pesakit didiscaj perlu dipakaikan gelang pengawasan berwarna berlainan daripada warna gelang HSO (pelaksanaan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah),” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 741 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan daripada jumlah itu 720 individu dikenakan kompaun dan selebihnya direman. - Bernama