Lima beranak tidur dalam khemah

Lima beranak terpaksa tinggal di bawah khemah ditutupi kelambu pada waktu malam di luar rumah berikutan keseluruhan rumah mereka dinaiki banjir sejak dua minggu lalu.
Lima beranak terpaksa tinggal di bawah khemah ditutupi kelambu pada waktu malam di luar rumah berikutan keseluruhan rumah mereka dinaiki banjir sejak dua minggu lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lima beranak di Jalan Maju, Kampung Batu 7 Ijok di sini terpaksa tidur bawah khemah ditutupi kelambu pada waktu malam selepas rumah mereka dinaiki banjir sejak dua minggu lalu.

Mohd Roze Md Basir, 39, berkata, dia dan isteri, Halima Tu'saadiyah Alias, 35, dan tiga anak mereka berusia lingkungan lima hingga 12 tahun tiada pilihan lain melainkan berteduh sementara menunggu banjir surut.

Menurutnya, kejadian banjir bukan perkara baharu malah tahun ini sahaja sudah sembilan kali kawasan kediamannya digenangi air.

“Lima kali air melimpah masuk ke dalam rumah manakala empat kali banjir naik hingga ke pekarangan rumah,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Roze berkata, mereka sekeluarga juga terpaksa memasak dan melakukan urusan harian di bawah khemah terbabit.

Halima Tu'saadiyah memasak di bawah khemah selepas banjir melimpah masuk ke rumah.
Halima Tu'saadiyah memasak di bawah khemah selepas banjir melimpah masuk ke rumah.

“Hari ini anak sulung saya berusia 12 tahun terpaksa menduduki ujian kemasukan sekolah berasrama secara dalam talian di bawah khemah ini,” katanya.

Menurut Mohd Roze mendakwa, banjir itu berpunca daripada Kunci Air Batu 7 Ijok yang tidak dapat menampung kapasiti air sedia ada dan jika hujan lebat berterusan, kawasan rumahnya mudah dilimpahi air.

Artikel Berkaitan:

“Masalah ini bukan perkara baru malah semakin teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Adiknya, Mohd Razak Md Basir, 34, berkata, kediamannya yang terletak bersebelahan rumah abangnya itu turut dinaiki air di bahagian dapur.

Katanya, keadaan itu menyukarkan mereka sekeluarga terutama isterinya, Nor Hayati Mohd Supian, 32, yang sedang hamil enam bulan.

“Kami sudah letih membersihkan rumah setiap kali air naik dan berharap ada jalan penyelesaian,” katanya.

Mereka berharap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dapat melihat sendiri situasi banjir yang kerap melanda Kampung itu.

“Kami minta isu banjir ini dapat diketengahkan ke peringkat tertinggi termasuk meminta campur tangan Menteri Besar agar dapat menangani isu membelenggu kami sejak sekian lama,” katanya.