Polis buru seorang lagi suspek samun dan bunuh

Saiful Azly (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.
Saiful Azly (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memburu seorang lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong di Bukit Bandaraya, di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, setakat ini seramai 10 individu warga tempatan telah ditahan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail pada hari yang sama.

"Sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah menahan kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 29 tahun dalam serbuan pada jam 11.24 malam," katanya pada sidang media di Ibu IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesara MARDI maut ditetak perompak

Saiful Azly berkata, hasil soal siasat mendapati salah seorang daripada mereka telah mengaku terlibat dalam kejadian samun tersebut.

"Tangkapan itu susulan daripada kejadian samun kedua yang dilakukan suspek di sebuah banglo milik seorang jurutera di Taman Tiara Titiwangsa di mana salah seorang daripada mereka telah membuang dompet milik mangsa yang mati selepas disergah oleh orang awam ketika cuba melarikan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penemuan dompet tersebut telah mengaitkan suspek dengan kedua-dua kejadian.

"Suspek yang terlibat turut berjaya dikenal pasti susulan lakaran fotofit dan pengecaman wajah yang dibuat oleh kesemua mangsa memandangkan suspek tidak memakai topeng ketika melakukan jenayah itu," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati lapan daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah serta narkotik.

"Kesemua yang ditahan kini direman tujuh hari sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan suspek samun, tetak Dr Wan Hassan

Perompak tetak pesara dipercayai guna laluan belakang: Saksi

Lepas tetak pesara MARDI, suspek rompak rumah jurutera