Infak relevan sepanjang zaman

Dari kiri moderator, Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Presiden UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan qari, Ustaz Husaini Mahmur ketika Wacana Al-Quran bertajuk Edisi Resolusi: Infak dan Impak Sosial di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
Dari kiri moderator, Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Presiden UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan qari, Ustaz Husaini Mahmur ketika Wacana Al-Quran bertajuk Edisi Resolusi: Infak dan Impak Sosial di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Infak bukan sekadar tuntutan agama sebaliknya ia adalah sebuah pemilikan dan pengagihan ekonomi yang memberi impak kepada struktur sosial sesebuah negara.

Infak juga merupakan pelengkap kehidupan dan kerana itulah ALLAH SWT berulang-ulang menjelaskan perbuatan infak kerana ia menjadi penawar kepada masyarakat.

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, ramai yang percaya infak hanya relevan pada zaman krisis sahaja, namun beliau sebaliknya memberitahu bahawa perbuatan menginfak adalah relevan sepanjang masa.

"ALLAH SWT mengumpamakan pemberi infak ini seperti sebuah tanah kebun di mana turunnya air hujan lalu meresap ke dalam tanah dan menyuburkan.

"Pemberi infak yang melakukannya secara ikhlas akan menerima ganjaran yang lebih daripada ALLAH SWT. Sebagai contoh, saya ada wang dan dermakan kepada yang memerlukan bantuan, selepas itu saya mula rasa kehilangan harta tetapi akibat daripada pemberian saya itu ALLAH SWT tampung balik dengan ganjaran yang tidak disangka-sangka supaya si pemberi tidak mengungkit-ungkit akan pemberiannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Al-Quran Edisi Resolusi: Infak dan Impak Sosial yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Program dikendalikan Ketua Penyelidik Yayasan Wawasan Ummah Ikhlas (WUIF), selaku moderator serta qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur yang membacakan surah al-Baqarah.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia berkata, sebahagian daripada rakyat di negara ini terjejas pendapatan mereka dan kalau ada lebihan pun mereka akan menyimpan untuk kegunaan keluarga atau digunakan ketika saat kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita kena menghargai kesulitan rakyat untuk menderma seperti sebelum ini. Tetapi, kita kena sentiasa menguar-uarkan bahawa untuk dapatkan rezeki yang banyak kita juga kena menderma. Itu satu konsep yang kita kena percaya, kalau rezeki sempit banyakkan menderma supaya pulangan itu cepat bukan setakat di akhirat tetapi di dunia pun akan dimudahkan.

"Pada pemerhatian saya, ibadah berkaitan dengan manusia hukumannya cepat di dunia ini. Buat baik dengan ibu bapa, jiran atau binatang rezekinya akan dipermudahkan dan digandakan," katanya.