Pengusaha batik sambut baik cadangan pemakaian batik sektor swasta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pengusaha batik di Terengganu yakin industri itu mampu mengulangi semula era kegemilangannya seperti 10 tahun lepas sekiranya pemakaian batik diperluaskan dalam kalangan pekerja sektor swasta di negara ini.

Pemilik A&Z Songket, Che Mustaffa Che Ibrahim berkata berdasarkan pengalamannya yang mengusahakan perniagaan itu sejak 20 tahun lalu, sebarang dasar kerajaan berkaitan pemakaian batik pasti memberi kesan positif terhadap perniagaan mereka.

"Contohnya, sejak kerajaan mewajibkan pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam pada tahun 2008, kami memang menerima banyak tempahan dari jabatan dan agensi kerajaan untuk pakaian seragam dan pemberian hadiah untuk sebarang aktiviti anjuran mereka.

"Bagi saya, cadangan terbaharu kerajaan memperluaskan pemakaian batik dalam sektor swasta ini juga akan meningkatkan lagi jualan pengusaha batik sekaligus mempopularkan lagi batik sebagai imej Malaysia di peringkat dunia," katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dilaporkan akan meminta kerjasama daripada sektor swasta bagi melaksanakan pemakaian batik sekurang-kurang sekali dalam seminggu secara meluas.

Keyakinan sama turut disuarakan pemilik Nadeema Songket Courtier, Emma Surianti Che Mustaffa yang optimis galakan kerajaan itu akan menjadikan pemakaian batik sebagai satu trend yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia satu hari nanti.

"Ramai orang beranggapan harga batik sangat mahal dan eksklusif berbanding pakaian lain. Namun, sebenarnya pelanggan ada banyak pilihan kerana batik itu sendiri diperbuat dari pelbagai jenis kain antaranya kain kapas, satin, jacquard dan crepe.

"Harga juga berbeza bergantung kepada teknik canting, corak batik dan jumlah warna cat yang digunakan. Sebagai pengusaha batik, kami sangat gembira dengan cadangan baharu ini dan berharap ia segera dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya gambaran sebenar industri batik di Terengganu ketika ini, beliau berkata ia tidak semeriah dahulu, namun pengusaha batik tetap istiqamah dengan perniagaan mereka memandangkan kebanyakan perniagaan diwarisi turun-temurun.

"Sebenarnya, ramai pembuat batik kecil-kecilan di Terengganu menutup perniagaan mereka kerana harga kain putih terlalu mahal sejak akhir-akhir ini. Ia juga mendorong kepada kenaikan tinggi harga batik.

"10 tahun lalu, sepasang sutera batik daripada material jacquard boleh dibeli dengan harga RM150 sahaja namun sekarang harga kain putih sendiri mencecah RM150 belum termasuk cat. Namun, harga batik daripada kain kapas masih berpatutan dan mampu dimiliki sesiapa sahaja," tambahnya.