Zoo Taiping, Night Safari dijangka rugi lebih RM500,000

Zoo Taiping dan Night Safari dijangka alami kerugian antara RM500,000 hingga RM600,000 dalam tempoh PKPB berkuat kuasa 9 November hingga 6 Disember ini. - Foto zootaiping.gov.my
Zoo Taiping dan Night Safari dijangka alami kerugian antara RM500,000 hingga RM600,000 dalam tempoh PKPB berkuat kuasa 9 November hingga 6 Disember ini. - Foto zootaiping.gov.my
A
A
A

TAIPING - Zoo Taiping dan Night Safari di sini dijangka mengalami kerugian antara RM500,000 hingga RM600,000 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa 9 November hingga 6 Disember ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, kerugian itu susulan kemerosotan hasil kutipan tiket sehingga 95 peratus.

“Kemerosotan itu amat ketara dengan kedatangan pengunjung antara 20 orang hingga 60 orang setiap hari,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPT di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penjagaan makanan haiwan masih dapat ditanggung dengan kos RM150,000 sebulan serta kos operasi selain gaji kakitangan yang memerlukan perbelanjaan lingkungan RM350,000 hingga RM400,000 sebulan.

Katanya, MPT akan menjalankan kerja menaik taraf kandang burung enggang, helang, pameran ular dan bumbung dengan kos RM1.8 juta di zoo berkenaan pada Januari tahun depan melalui projek sumbangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Beliau berkata, selain peruntukan itu, Perhilitan turut memberikan bantuan penyelenggaraan makanan haiwan selama empat bulan sejak Ogos lalu hingga November ini bagi mengurangkan beban pihak zoo.

Khairul Amir berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM150,000 bagi kerja menaik taraf tandas dan kipas di kawasan zoo itu.

Dalam perkembangan lain, Khairul Amir berkata, MPT akan menaikkan kadar baharu kompaun bagi kesalahan tempat letak kereta dari RM20 kepada RM30 bagi kesalahan dalam petak letak kereta dan kadar RM50 dinaikkan kepada RM60 bagi kesalahan luar petak kereta di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak kereta) MPT 2004 mulai 1 Januari depan.

Artikel Berkaitan:

MPT juga akan melaksanakan tawaran pengurangan bayaran kompaun sebanyak 50 peratus bermula 1 hingga 31 Disember ini bagi kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPT 2004.

Bagaimanapun, pengurangan bayaran kompaun itu tidak termasuk bagi kes-kes sedang dalam tindakan pendakwaan dan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kebersihan Awam (MPT) 1984.