Polis nafi 255 OKT mati dipukul dalam lokap di Johor

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menafikan tuduhan seorang lelaki dalam sebuah video yang sedang tular mendakwa berlaku 255 kematian melibatkan Orang Kena Tahan (OKT) akibat dipukul dalam lokap di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan lelaki dikenali sebagai N Ganeshparan, 38, disifatkan sebagai cubaan memfitnah serta menguji kredibilitinya.

"Berdasarkan statistik pada tahun 2000 sehingga 2014 menunjukkan hanya 23 rekod kematian melibatkan OKT dan kebanyakannya penagih dadah yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Lelaki yang dikenali sebagai N Ganeshparan yang memuat naik video di Facebook itu juga tidak berpuas hati dan mempertikaikan tindakan menahan seorang pejuang hak asasi manusia K Haridas atas kesalahan mengugut pegawai polis pada tahun 2017," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Semalam sebuah video berdurasi enam minit 67 saat dirakam pemilik akaun Facebook Ganesh Nadaraja yang tidak berpuas hati dengan Ayob Khan berikutan penahanan Haridas serta beberapa dakwaan lain.

Ayob Khan berkata, hasil siasatan mendapati Ganeshparan yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau dan dipercayai kini berada di Jerman.

"Kali terakhir lelaki berkenaan berada di negara ini pada 2 November 2017.

“Dia juga sudah lima kali ditangkap pada tahun 2010 sehingga 2017. Individu ini telah keluar dari Malaysia pada 2 November 2017. Sebab itu dia berani bercakap. Jika berani baliklah Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tujuh rekod lampau membabitkan Ganeshparan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 397 Kanun Keseksaan berkaitan samun, Seksyen 160 Kanun Keseksaan berkaitan pergaduhan, Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kes kecurian, Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah, Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menjelaskan, dakwaan yang mengatakan bahawa Haridas dipukul oleh pihak polis tidak benar sama sekali.

“Haridas bukan dipukul dalam lokap pihak polis, Haridas buat laporan bahawa dia dipukul ketika dalam tahanan reman penjara Ulu Choh.

“Isu tangkapan Haridas ini tidak timbul kerana dia ditahan atas kesalahan lepas iaitu pada 2017, kes berkenaan kenyataannya terhadap saya itu masih dalam kertas siasatan,” ujarnya.