11 LiSA dipasang di lokasi panas

Bomba menunjukkan demonstrasi penyelamatan di air dengan menggunakan LiSA di Taman Eko Rimba Ulu Kenas, Kuala Kangsar hari ini.
Bomba menunjukkan demonstrasi penyelamatan di air dengan menggunakan LiSA di Taman Eko Rimba Ulu Kenas, Kuala Kangsar hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dijangka selesai memasang kesemua 11 peti Life Saving Appliances (LiSA) di lokasi panas seluruh negeri akhir Disember ini.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, LiSA yang mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, ‘throw bag rope’ serta dilengkapi dengan siren itu adalah hasil inovasi jabatan sebagai langkah awal dalam menyelamatkan mangsa lemas.

“Melihat statistik kematian akibat aktiviti di air meningkat apabila pihak bomba menerima 23 kes kematian disebabkan aktiviti berkelah dan sebagainya berbanding tahun lalu, LiSA dipasang di 11 lokasi dikenal pasti sebagai lokasi menjadi tumpuan pengunjung.

“Dua telah dipasang di Pantai Teluk Batik dan Ulu Kenas manakala sembilan yang lain akan di pasang di Teluk Nipah, Teluk Senangin, Lata Kinjang, Kuala Mu, Burmese Pool, Lubuk Degong, Tasik Cermin, Tasik Banding dan Dataran Kuala Kangsar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan di Air dan pemasangan papan tanda keselamatan di air serta LiSA di Taman Eko Rimba Ulu Kenas, di sini hari ini.

Azmi (tengah) melancarkan peti LiSA yang dipasang untuk keselamatan pengunjung di Taman Eko Rimba Ulu Kenas, Kuala Kangsar hari ini.
Azmi (tengah) melancarkan peti LiSA yang dipasang untuk keselamatan pengunjung di Taman Eko Rimba Ulu Kenas, Kuala Kangsar hari ini.

Menurutnya, pemasangan peti keselamatan itu dijangka dapat meminimakan kadar kemalangan melibatkan aktiviti di air.

“Anggota bomba akan memberi penerangan berhubung keselamatan di air serta kaedah penyelamatan kepada pihak berkaitan contohnya pegawai Jabatan Perhutanan mahupun pengunjung di lokasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pengunjung perlu elakkan sebarang perbuatan vandalisme dan kerosakan lain kerana peti ini adalah untuk keselamatan di waktu kecemasan,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan JBPM dalam menghadapi musim banjir, Azmi berkata, seramai lebih 2,500 anggota bersama pasukan bomba sukarela (PBS) dalam keadaan bersiap siaga.

“Bukan setakat banjir, bomba turut memfokuskan kepada kawasan runtuhan dan kemalangan di musim tengkujuh ini.

“Kesemua peralatan, logistik dan utiliti berfungsi dengan baik. Bagaimanapun, anggota diingatkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan operasi menyelamat,” katanya.