X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita berpantang dukung anak redah banjir

Ain Nur meriba anak bongsunya semasa ditempatkan di PPS SK Dato Maharajalela sejak lima hari lalu.
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang wanita sedang berpantang antara 94 mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Maharajalela di sini, sejak lima hari lalu.

Ain Nur Hidayah Ithnin, 22, berkata, dia bersama suami, Mohamad Husaimi Mokhtar, 27, dan anaknya, Muhammad Eismie Izzrayyan, berusia 40 hari serta anak sulungnya berpindah ke PPS itu selepas kediaman mereka di Jalan Parit Derahman, Bukit Hijau dinaiki air setinggi 0.2 meter.

Menurutnya, walaupun sedang berpantang dia terpaksa bertahan tinggal sementara di PPS itu kerana banjir di kediaman mereka sejak 23 November lalu masih belum surut.

"Saya berpindah ke PPS ini selepas tiga hari rumah dinaiki air dan hari ini merupakan hari kelima saya di sini," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Ain Nur berkata, kejadian sama pernah berlaku semasa dia hamil empat bulan anak pertama.

"Kali ini saya terpaksa meredah banjir sambil mendukung bayi. Alhamdulilah, keluarga banyak membantu memindahkan barang ke tempat selamat," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nur Maizatul Asyikin Harun, 24, berkata, kejadian banjir melimpah masuk ke kediamannya itu kali pertama dilalui bersama suaminya, Wan Kamarulzaman Wan Mohamed, 38, dan seorang anaknya.

Katanya, sebelum ini dia menumpang di rumah ibunya di Jalan Parit Omar tetapi berpindah ke kampung itu sejak setahun lalu.

"Air naik di bahagian tandas rumah dan keadaan ini menyukarkan kami setiap kali ingin ke tandas," katanya.

Noormah Sabran, 50, pula berkata, rumah sewanya yang didiami bersama suami, anak dan dua cucunya di Jalan Tahir Manan, Kampung Bukit Kuching Tengah mula dinaiki air malam kelmarin.

Noormah bersama dua cucunya ditempatkan di PPS SK Dato Maharajalela sejak kelmarin.
Noormah bersama dua cucunya ditempatkan di PPS SK Dato Maharajalela sejak kelmarin.

Katanya, air mula melimpah ke rumah pada jam 12 tengah malam dengan begitu cepat hingga mereka terpaksa berpindah ke PPS itu jam 11 pagi semalam.

"Kami hanya sempat menyelamatkan barangan tertentu sahaja, manakala barangan perabot dan elektrik serta tikar getah sudah digenangi air," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!