Individu bawah 18 tahun tidak diberi vaksin Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun ke bawah tidak akan diberikan vaksin Covid-19 sebaliknya kerajaan mengutamakan petugas barisan hadapan dan warga emas.

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, warga emas kebiasaannya mempunyai sistem keimunan lebih rendah berbanding golongan muda.

Menurutnya, individu berusia itu sangat berisiko dijangkiti dan lebih mudah mengalami gejala Covid-19 seperti demam, batuk serta kegagalan pernafasan.

“Bila kerajaan meletakkan keutamaan kepada frontliners, warga emas untuk terima vaksin, cepat-cepat ditohmah pula konon kerajaan mahu orang-orang tua cepat mati sehingga menyebabkan ramai yang akan jadi anak yatim.

“Kerajaan mengutamakan warga emas kerana sistem keimunan mereka yang berusia kebiasaannya lebih lemah berbanding orang muda.

“Berbanding orang muda, sistem imuniti biasanya lebih baik. Sekali pun dijangkiti, kadar pemulihan lebih cepat malah dalam banyak kes, individu dijangkiti tidak mengalami gejala dan merasa bahawa mereka sihat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, tumpuan kajian dan ujian klinikal vaksin Covid-19 di seluruh dunia melibatkan sukarelawan yang berusia 18 tahun ke atas.

Maka menurutnya, hasil ujian tersebut yang menunjukkan keberkesanan 90 peratus adalah berdasarkan sampel di dalam kumpulan usia berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kerana itulah sasaran penerima vaksin adalah untuk penerima berumur 18 tahun ke atas.

“Tiada kanak kanak akan menerima Vaksin Covid-19,” ujarnya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa seramai 9.6 juta atau 30 peratus rakyat negara ini dijangka memperoleh vaksin Covid-19 pada tahun hadapan.