Polis berkas 15 ahli sindiket curi tabung ekzos

Arifai menunjukkan komponen ekzos yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.
Arifai menunjukkan komponen ekzos yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.
A
A
A

GOMBAK - Polis memberkas 15 individu termasuk dua warga Bangladesh yang disyaki terlibat dengan sindiket curi tabung ekzos di daerah ini pada 27 November lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua individu yang ditahan di sekitar Gombak itu berusia 27 hingga 56 tahun.

"Hasil serbuan, kita merampas pelbagai jenis tabung ekzos kenderaan yang dicuri untuk dijual di premis besi buruk serta kedai meleraikan komponen kenderaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.

Arifai berkata, suspek dipercayai menjual ekzos berkenaan pada harga antara RM500 sehingga RM2,000 mengikut jenis ekzos.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mendakwa bahan dalam tabung ekzos Naza Ria boleh melenturkan barang berharga," katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan melakukan kegiatan jenayah pada waktu malam dan awal pagi di kawasan tempat letak kereta yang gelap serta kenderaan yang diparkir luar premis dan kediaman.

"Mereka menggunakan jet tayar untuk mengangkat kenderaan sebelum memotong ekzos dan melarikannya," katanya.

Arifai berkata, pihaknya percaya ada pemilik kenderaan yang tidak tampil membuat laporan polis mengenai kehilangan ekzos kenderaan mereka kerana menganggap komponen kenderaan itu terjatuh.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek direman sehingga hari ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan mereka akan disambung reman bagi membantu siasatan," katanya.