Johor kenal pasti langkah baharu atasi penyusutan hasil

HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa langkah yang akan ambil bagi menampung penyusutan hasil kerajaan yang dijangka berkurangan pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kekurangan hasil itu disebabkan situasi ekonomi semasa yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa cakna dengan situasi semasa ekonomi Johor dan mengambil inisiatif membentangkan unjuran bajet defisit berjumlah RM 248.14 juta demi rakyat Johor.

"Antara langkah yang diambil ialah pihak Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) akan meningkatkan bayaran lesen, kompaun dan denda di dalam Enakmen Air 1921 selaras naik taraf Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) Lembaga Urus Air Johor.

"Seterusnya, Jabatan Perhutanan Negeri sedang dalam perancangan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembalakan haram serta menambah hasil daripada aktiviti rekreasi di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Dr Faizul Amri (PH-Serom), K Raven (BN-Tenggaroh) dan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) yang bertanyakan soalan tentang isu pengurangan dan penjanaan hasil baharu pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, kerajaan negeri juga sedang mengkaji semula Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 bagi memastikan kutipan hasil dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Terdapat beberapa punca hasil baharu yang sedang dalam peringkat penelitian jabatan-jabatan sebelum ianya diputuskan di peringkat kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Hasil tersebut dijangka akan dapat dikutip pada tahun hadapan dengan anggaran kutipan sebanyak RM70 juta," katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri perlu berbelanja ikut kemampuan kerana kestabilan fiskal juga signifikan dan perlu menjadi matlamat utama kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, hasil kerajaan pada tahun hadapan juga berkurangan setelah pelbagai insentif diberikan kepada pro-rakyat seperti rebat cukai tanah yang dianggarkan berjumlah RM 204.89 juta dan pengecualian cukai hiburan berjumlah RM60 juta.

"Selain itu, pengecualian lesen penjaja dan pengecualian sewa kedai di ruang niaga PBT berjumlah RM41 juta serta pengecualian bayaran sewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) bersasar berjumlah RM 15.54 juta," katanya.