Jawatan TPM wajar diberi pada UMNO

Dr Najmil Faiz Mohamed Aris
Dr Najmil Faiz Mohamed Aris
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada UMNO untuk membuktikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ikhlas dalam perpaduan Melayu dan penyatuan ummah.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, usaha dan niat itu perlu diterjemahkan dalam pemberian jawatan kabinet yang lebih adil serta iklhas.

"Saya menyambut baik kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa UMNO akan membangkitkan semula kedudukan jawatan TPM selepas selesai perbahasan Belanjawan 2021.

"Ini bukanlah soal tamak. Kita perlu melihat isu ini daripada sudut positif, di mana pengisian jawatan TPM daripada UMNO akan meningkatkan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah.

"UMNO merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan PN dan Perdana Menteri kini bukan daripada UMNO. Ini sudah menunjukkan pengorbanan besar UMNO yang membuktikan kita mampu berkorban untuk kepentingan rakyat," katanya.

Jelasnya, kepakaran dan pengalaman UMNO amat diperlukan dalam proses membuat dasar kerajaan terutama sekali ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang memerlukan tumpuan khas kepada pemulihan ekonomi.

Malah katanya, pencapaian Malaysia pada hari ini adalah hasil usaha pemimpin UMNO yang mencorakkan kegemilangan negara, bukannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan sebagainya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan UMNO bakal membangkitkan semula kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat selesai.

Artikel Berkaitan:

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini tiada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet kecuali satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.