X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lelaki tular bergaduh didenda RM800

Sejak minggu lalu, tular video di laman sosial Facebook memaparkan seorang lelaki bergaduh dengan seorang penghantar makanan di kawasan awam.
A
A

KAJANG - Dua lelaki termasuk seorang penghantar makanan yang tular bergaduh di Bandar Mahkota Cheras minggu lalu, didenda RM800 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Penghantar makanan, Jasmady Jasman, 27, dan pengawal peribadi, Saiful Shazni Hanif, 33, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh itu, menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan gaduh gempar di tempat awam yang mana ia mengganggu ketenteraman awam.

Kejadian dilakukan di pondok pengawal keselamatan kondominium di Bandar Mahkota Cheras, di sini pada jam 11.15 pagi, 25 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 160 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, Jasmady mendakwa mahu menghantar makanan kepada Saiful Shazni namun dihalang masuk oleh pengawal keselamatan kondominium tersebut.

Lalu Jasmady menghubungi Saiful Shazni supaya dia turun dan mengambil makanan di pondok pengawal sendiri.

Saiful Shazni yang tidak berpuas hati dengan permintaan itu, bertindak memaki dan menolak Jasmady sehingga menyebabkan berlaku pergaduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar mereka tidak bergaduh di tempat awam.

“Semua masalah boleh diselesaikan tanpa melakukan pergaduhan,” katanya.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman ringan.

Jasmady berkata, dia hanya bertindak untuk mempertahankan diri namun kejadian itu menyebabkan dia mengalami kecederaan selain motosikalnya rosak.

Sementara bagi Saiful Shazni, dia merayu agar dikenakan hukuman ringan memandangkan dia merupakan seorang penanggung tunggal keluarga.

Sejak minggu lalu, tular video di laman sosial Facebook memaparkan seorang lelaki bergaduh dengan seorang penghantar makanan di kawasan awam.

Video berdurasi 19 saat itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang menganggap kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!