1,240 kesalahan dicatatkan sepanjang Ops Topi Keledar

Azmil (kanan) menunjukkan penggunaan hasil peralatan Go Pro dan kamera papan pemuka yang digunakan JPJ Johor untuk mengambil foto atau video kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
Azmil (kanan) menunjukkan penggunaan hasil peralatan Go Pro dan kamera papan pemuka yang digunakan JPJ Johor untuk mengambil foto atau video kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor merekodkan 1,240 kesalahan melibatkan motosikal melalui Ops Topi Keledar selama tiga hari di negeri ini bermula 17 November lalu.

Pemangku Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, daripada jumlah itu, kesalahan tidak memakai topi keledar mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,150 saman dan perlu diberi perhatian serius.

Menurutnya, kesalahan lain yang turut dicatat sepanjang tempoh operasi itu ialah tamat cukai jalan, tiada insurans, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Azmil Zainal Adnan
Azmil Zainal Adnan

"Majoriti daripada kesalahan itu dikesan menerusi penguatkuasaan secara rakaman video oleh pegawai dan anggota JPJ Johor sendiri," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor, Taman Daya di sini hari ini.

Azmil berkata, penguatkuasaan undang-undang berkenaan pemakaian topi keledar dimulakan sejak 1997 namun kadar pematuhannya ketika ini amat rendah.

"Antara alasan utama penunggang motosikal ialah rumah mereka hanya berdekatan jalan sahaja selain pergi ke kedai berhampiran.

"Bagaimanapun, mengikut undang-undang penunggang menunggang motosikal perlu memakai topi keledar untuk keselamatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sementara itu, beliau berkata, kesalahan yang turut dikesan melibatkan 96 kes antaranya 18 kes tamat cukai tempoh jalan, 18 kes tiada insurans, lima kes potong barisan dan 12 kes tidak patuhi lampu isyarat.

"Empat kes memandu sambil menggunakan telefon bimbit, enam kes melibatkan kesalahan teknikal manakala 10 kes lain-lain," katanya.

Pada masa sama katanya, sebanyak 1,787 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah berkenaan, 1,216 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.