X

Kindly register in order to view this article
!

Jurujual mengaku tidak salah langgar lelaki di LEKAS

Yew Seng dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban, beberapa hari lalu.
A
A

KAJANG - Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang operator kilang di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) beberapa hari lalu.

Hoi Yew Seng, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Tertuduh didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Nelzin Didal Mat Lazim, 44.

Kejadian didakwa berlaku di kilometer 3.8 Lebuhraya Kajang - Seremban (LEKAS), Hulu Langat, di sini, pada jam 11.35 pagi, pada 27 November lalu.

Dia yang juga bapa kepada tiga anak, didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama 10 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Tan Teck Yew memohon ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan perniagaannya merosot sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Syahrul Sazly membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh dikehendaki menyerahkan paspor kepada mahkamah dan mahkamah menetapkan 4 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!