'Banyak aduan tiada bukti jelas'

Azmil (kiri) menunjukkan Go Pro dan peralatan lain yang digunakan untuk mengambil foto âtau video kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
Azmil (kiri) menunjukkan Go Pro dan peralatan lain yang digunakan untuk mengambil foto âtau video kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor memproses 50 peratus aduan awam untuk tindakan undang-undang.

Pemangku Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, kebanyakan aduan yang diterima dalam bentuk foto dan visual.

Beliau berkata, ada aduan yang menggunakan rakaman video tidak berkualiti dan menyukarkan jabatan itu mengambil tindakan.

"Contohnya, apabila di 'zoom' pada nombor pendaftaran, kita tidak dapat melihat dengan jelas. Ada aduan berkaitan kenderaan yang memotong kenderaan lain di garisan berkembar atau memotong di laluan kiri, situasi itu tidak nampak dengan jelas.

"Pendakwaan di mahkamah juga sukar kerana bukti tidak cukup kuat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Johor, Taman Daya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang mahu membuat aduan awam menyertakan rakaman visual yang jelas dan terperinci.

Katanya, cara itu akan membantu pihak JPJ menjejaki pesalah sekali gus dapat melakukan pendakwaan terhadap kesalahan yang dilakukan di mahkamah.

Beliau memberitahu, ketika ini JPJ Johor hanya memiliki 11 unit kamera Go Pro yang dipasang pada topi keledar Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) manakala lapan unit kamera papan pemuka dipasang dalam kenderaan penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Peralatan tersebut katanya, digunakan untuk merakam foto atau video kesalahan yang digunakan pengguna jalan raya dan jumlah kamera papan pemuka itu tidak termasuk yang dibeli sendiri oleh anggota dan pegawai penguat kuasa JPJ Johor.

Jelasnya, 11 unit Go Pro itu digunakan di kawasan Johor Bahru sahaja manakala kamera papan pemuka pula empat digunakan di Johor Bahru manakala selebihnya digunakan di Segamat, Batu Pahat, Pontian dan Muar.

"Penggunaan teknologi digital berkenaan membantu pegawai dan anggota dalam menjalankan penguatkuasaan selama 24 jam, ini juga bersesuaian dengan norma baharu akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

"Anggota yang tidak bertugas juga boleh merakam kesalahan dan diproses untuk tindakan lanjut," ujarnya sambil memberitahu pihaknya mengharapkan penggunaan peralatan berkenaan dapat ditingkatkan pada masa depan.