25 ekor kambing dicuri, pengusaha rugi RM23,000

Zamri (kiri) dan Salehuddin di hadapan kandang kambing yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di perumahan Felcra Kuala Tahan.
Zamri (kiri) dan Salehuddin di hadapan kandang kambing yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di perumahan Felcra Kuala Tahan.
A
A
A

JERANTUT - Dua pemandu pelancong Taman Negara Kuala Tahan yang berdepan impak industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 kini terpaksa menanggung kerugian berganda apabila kambing milik mereka lesap dipercayai dicuri.

Zamri Mat Amin, 53, dan Salehuddin Selat, 54, menyedari 25 ekor ternakan diusahakan sejak empat tahun lalu itu hilang dari kandang yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di perumahan Felcra Kuala Tahan semalam.

Zamri berkata, dia dan Salehuddin ke kandang tersebut jam 12 tengah malam kelmarin dan pulang ke rumah selepas mengunci pintu kandang dan pagar kawasan itu.

"Pada sebelah pagi, ketika Salehuddin hendak membuka pintu pagar dia terkejut kerana pintu itu sudah dikopak dan juga mangga pintu kandang turut dipotong.

"Semua kambing hilang kecuali lapan ekor anak kambing yang masih ada," katanya.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 2 hingga 5 pagi ketika hujan dan kerugian dialami dianggarkan sebanyak RM23,000.

"Setakat ini kami belum menjual kambing. Walaupun sedih, namun kami reda dengan ujian ini selain berharap pencuri terbuka hati memulangkan semula kambing itu," katanya.

Katanya, mereka bergantung terhadap hasil ternakan tersebut sebagai punca pendapatan sampingan kerana pendapatan sebagai pemandu pelancong terjejas berikutan kekurangan pelancong tempatan dan luar negara akibat wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan: