Pasaran ikan air tawar di Pahang semakin rancak

Mohd Soffi (kanan) dan Abdullah melepaskan benih ikan di Tasik Burung Mandi, Kampung Kemahang Hilir, Lipis. - (pix Ihsan Perikanan Pahang). Gambar kecil: Abdullah
Mohd Soffi (kanan) dan Abdullah melepaskan benih ikan di Tasik Burung Mandi, Kampung Kemahang Hilir, Lipis. - (pix Ihsan Perikanan Pahang). Gambar kecil: Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Pasaran ikan air tawar di Pahang semakin rancak apabila menerima permintaan tinggi daripada beberapa negeri di dalam negara ini meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diteruskan susulan wabak Covid-19.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, hasil akuakultur itu dapat dipasarkan ke negeri jiran seperti di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Terengganu selepas kelonggaran perjalanan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

Menurutnya, sebelum ini pasaran ikan air tawar agak perlahan di peringkat awal PKP sehingga menjejaskan pendapatan penternak di beberapa daerah seperti Temerloh, Pekan dan Jerantut.

"Tapi kini, saya difahamkan pasaran ikan air tawar yang diternak di Pahang sudah mula rancak dan mereka (penternak) tidak lagi berhadapan masalah untuk memasarkan hasil ternakan tersebut.

"Jadi, saya berharap penternak akuakultur di negeri ini dapat meneruskan semula projek yang diusahakan terutamanya selepas mereka berhadapan masalah sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, pihaknya telah melepaskan sebanyak 22,000 benih ikan spesies Terbul, Kerai Kunyit dan Lampam Sungai ke perairan Tasik Burung Mandi, Lipis.

Program Penyerahan Bantuan Benih Ikan kepada Penternak Akuakultur dan Bantuan Program Rezeki Tani Daerah Lipis itu telah disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pihaknya juga telah memberi bantuan sebanyak 2,000 benih ikan Tilapia Merah kepada empat penternak akuakultur di daerah Lipis.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bantuan itu antara usaha pihaknya bagi membantu meringankan beban golongan penternak yang terkesan dengan peningkatan harga benih dan makanan ikan.

"Bantuan benih dan makanan ikan ini dilakukan sepanjang tahun di semua daerah namun jumlah mereka yang layak menerima bergantung kepada peruntukan diterima jabatan.

"Kita akui harga makanan ikan di peringkat anak dan dewasa yang tinggi, kini menjadi beban utama kepada penternak hingga ada yang terpaksa mengecilkan jumlah sangkar ternakan mereka," katanya.

Mengulas mengenai program pelepasan ikan itu, Abdullah berkata, pelepasan sebanyak 22,000 benih ikan spesies Terbul, Kerai Kunyit dan Lampam Sungai ke perairan Tasik Burung Mandi bagi meningkatkan stok ikan di tasik terbabit.

Katanya, langkah itu juga akan menjadikan tasik berkenaan sebagai produk pelancongan di Pahang, khususnya di daerah Lipis.